RUPA-RUPANYA ada lagi yang masih percaya dengan pertolongan ilmu hitam pada zaman moden ini ya? Baru-baru ini seorang pelakon pula menjadi mangsa perbuatan tersebut.
Pelakon drama bersiri popular tempatan Gerak Khas, Nizen Ayob dikhabarkan terkena buatan orang. Betul ke?
Semalam, Nizen ada memuat naik satu gambar di laman Instagramnya. Gambar itu jelas menunjukkan rangka gigi dan paku yang sudah karat. Menurutnya, objek tersebut dijumpai di dalam kepalanya.
Dikhabarkan, kesihatan pelakon yang berusia 32 tahun ini sudah mulai merosot sejak beberapa bulan lalu.
“Disebabkan itu, saya membuat keputusan untuk memperlahankan kerjaya lakonan termasuklah pembabitan dalam drama Gerak Khas yang dibintangi hampir lima tahun lalu meskipun telah sebati dengan diri saya,” katanya dipetik laporan sebuah akhbar.
Peserta program realiti Pilih Kasih 3 ini ada berubat secara tradisional dengan seorang pengamal perubatan dan dia agak terkejut apabila dimaklumkan terdapat rangka gigi dan paku karat dalam kepalanya.
“Pakcik itu mengurut-urut dahi saya dengan tangannya secara perlahan-lahan menggunakan sejenis minyak sehingga terhasil kesan seperti sedang menjalani pembedahan kecil lalu dia mengeluarkan rangka gigi manusia dan paku karat.
“Memang terkejut walaupun terasa sakit semasa dia melakukan ‘pembedahan’ berkenaan terutama apabila dua objek itu mahu dikeluarkan. Malah kesan luka masih kelihatan sehingga hari ini,” katanya.
Menurut Nizen, kejadian ini merupakan kali kedua yang pernah dialaminya sejak beberapa bulan lalu dan kali ini yang paling teruk.
Dia juga tidak tahu apa puncanya sehinggakan ada pihak yang kurang menyenanginya. Walaupun begitu, dia sedar dia juga hanyalah manusia biasa yang melakukan kesilapan dan mendoakan pengirim ilmu hitam itu bertaubat. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim