PENGURUSAN Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) mengumumkan penempatan petugas kaunter di bahagian depan pusat itu hanya akan beroperasi sehingga 30 September ini.
Pengetua, Mohd Zahid Mahmood berkata sejak hari pertama kejadian masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, pangkat dan darjat datang menziarahi pihaknya.
“Tidak kurang juga kunjungan daripada rakyat Singapura dan Brunei serta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli ke madrasah kami.
“Ini semua bagaikan siraman hujan rahmat daripada Allah SWT kepada diri kami, membuatkan kami mendapat kekuatan untuk menangani ujian besar yang dihadapi.
“Walaupun ada segelintir individu yang masih berkeras menyalahkan madrasah, namun sokongan dan doa majoriti masyarakat serta solidariti sahabat komuniti tahfiz adalah sumber kekuatan buat kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, sepanjang 10 hari sejak tragedi berlaku pihaknya menerima ucapan takziah dan sumbangan ikhlas daripada masyarakat.
“Berkenaan pengurusan sumbangan yang diterima kami akan laporkan dan bincangkan sewajarnya dengan pihak kerajaan serta pihak-pihak lain yang perlu dan berkaitan.
“Segala sumbangan ini semua kami terima sebagai amanah untuk melaksanakan hasrat masyarakat menghulurkan bantuan kepada mangsa tragedi ini dan juga bagi tujuan pembangunan semula madrasah.
“Setinggi ucapan terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak yang membantu dan memberikan pelbagai bantuan kepada kami,” katanya yang turut berhasrat ingin menghubungi semua pihak dan agensi yang banyak memberikan bantuan kepada DQI. – MYNEWSHUB.CC