KUALA LUMPUR – Demokrasi memberi hak kepada majoriti rakyat negara ini untuk tidak melihat arak yang haram di sisi mereka dipestakan di Malaysia.
Demikian peringatan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali kepada pemimpin Pakatan Harapan yang mempertahankan penganjuran pesta arak Better Beer Festival di ibu negara.
Menurut beliau, bukan Islam boleh minum arak di negara ini kerana itu adalah hak mereka, tetapi bukan hak mereka untuk berpesta arak secara terbuka di sebuah negara Islam seperti Malaysia.
“Ada yang semakin cuba menunjukkan taringnya. Sejarah Malaysia adalah negara yang diperintah dengan Islam dan hari ini majoriti rakyatnya adalah muslim,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.
Pemimpin Pakatan Harapan di ibu negara semalam membidas langkah Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengharamkan pesta arak Better Beer Festival 2017.
Empat anggota parlimen DAP dan seorang Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengeluarkan kenyataan bersama bagi menyelar keras pihak berkuasa tempatan itu.
“Kami rasa kesal kerana kerajaan tempatan seperti DBKL cuba alih pandangan dengan berlagak jadi jaguh agama,” kata mereka. – MYNEWSHUB.CC