KUALA LUMPUR – Skuad boccia negara berpuas hati dengan pencapaian empat pingat perak dan dua gangsa pada temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).
Namun, jurulatihnya, Mohd Isa Mohd Noh, berkata beliau merasa sedikit terkilan kerana skuad negara gagal meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas dalam aksi di gelanggang sendiri.
“Saya mengharapkan selaku tuah tuan rumah, kita dapat raih pingat emas. Jika kita dapat pingat emas, ia menjamin masa depan boccia di Malaysia.
“Bagaimanapun, mereka telah bertanding dengan sebaik mungkin kerana pemain Thailand semuanya pemain ranking terbaik dunia,” kata Mohd Isa.
Pada penyertaan kali ini, Malaysia berjaya meraih empat pingat perak dan satu gangsa, berbanding pencapaian di Singapura dua tahun lalu dengan hanya dua perak dan satu gangsa.
Thailand mengekalkan kedudukan selaku kuasa besar acara boccia di rantau ini dengan menyapu bersih kesemua tujuh pingat emas yang ditawarkan, di samping dua perak dan dua gangsa.
Sementara itu, Lee Chee Hoong amat berpuas hati dengan pingat perak yang dimenanginya dalam acara Individu Campuran BC2, di mana pemain dalam kelas ini membaling bola dengan tangan dan tidak layak mendapatkan bantuan.
“Saya sangat gembira dapat beraksi di final kerana sebelum ini saya tidak pernah sampai ke final. Dapat pingat perak pun sudah cukup baik. Saya sudah mencuba sedaya upaya tapi bukan rezeki saya sebab pemain Thailand itu ada ranking dunia,” katanya.
Bagi Lean Chin Kit pula, rasa gementar berdepan saingan juara bertahan, Huadpradit Witsan dalam acara Individu Campuran BC1 pula sedikit menjejaskan corak permainannya.
“Saya berasa gementar dan permainan saya jadi tidak berapa konsisten. Bagaimanapun, saya gembira sebab akhirnya saya berjaya raih pingat individu,” katanya yang mewakili negara dalam dua temasya terdahulu di Korat (2008) dan Singapura (2015).
Pemain kelas BC1 ini membuang bola dengan tangan atau kaki dan mereka boleh bersaing dengan pembantu yang berada di luar kotak permainan untuk menstabilkan atau menyesuaikan kerusi bermain mereka dan memberi bola kepada pemain apabila diminta. – Bernama