KUALA LUMPUR – PAS kesal kerajaan Pakatan Harapan Selangor bertegas mahu meneruskan penganjuran pesta arak secara besar-besaran Better Beer Festival 2017 (BBF17) pada Oktober ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, pendirian kerajaan Pakatan Harapan Selangor itu dinyatakan oleh Exco kerajaan Selangor yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim.
“Pesta arak yang menampilkan 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat arak dengan sasaran 6,000 orang pengunjung itu tidak sepatutnya diteruskan memandangkan minuman beralkohol itu hanya bawa kemudaratan.
“Tambahan pula, pengambilan arak bukanlah budaya ketimuran bahkan turut dilarang dalam agama. Agama Islam sangat tegas dalam isu arak. Nabi SAW bersabda bahawasanya arak adalah ibu segala kejahatan,” tegasnya.
Nasrudin meluahkan itu dalam satu kenyataan semalam. Chang Khim sebelum ini dilapor berkata, Malaysia merupakan negara demokrasi dan semua pihak berhak buat apa saja aktiviti selagi tidak menyalahi undang-undang.
Menurut Chang Khim, PAS yang membuat bantahan terhadap pesta itu sepatutnya faham Malaysia sebuah negara majmuk dan bukan hanya orang PAS sahaja tinggal di negara ini.
Nasrudin berkata, masyarakat hari ini sudah tentu menyedari kesan negatif daripada pengambilan minuman beralkohol yang bukan sahaja membahayakan nyawa malah mengancam keselamatan masyarakat.
Kata beliau, meskipun pesta arak itu tidak melibatkan orang Islam sendiri, ia tidak menjamin ancaman keselamatan yang akan timbul disebabkan pengambilan arak.
“Apatah lagi acara tersebut dilakukan dalam sebuah pesta yang disifatkan sebagai “the biggest celebration of the craft beer revolution in Malaysia”.
“Jelas tiada manfaat daripada penganjuran pesta berkenaan malah sebaliknya pesta ini secara tidak langsung pula mempromosi pengambilan minuman beralkohol di Malaysia,” katanya. – MYNEWSHUB.CC