KUALA LUMPUR – Biarpun sering dikecewakan Thailand, namun skuad bola keranjang kerusi roda yakin temasya Sukan Para ASEAN ke-9 di Kuala Lumpur akan menjelmakan kilauan pingat emas buat mereka.
Pasukan negara kerap kali dikecewakan Thailand pada perlawanan penentuan pingat emas edisi sebelum ini di Sukan Para ASEAN Indonesia 2011, Myanmar 2013 dan Singapura 2015.
Pengurus pasukan, Chee Chen Soon mengharapkan tuah selaku tuan rumah, dan menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada dua acara yang dipertandingkan iaitu tiga lawan tiga dan lima lawan lima.
“Kami mahu sekurang-kurangnya satu pingat emas dan berharap beraksi di negara sendiri akan memberi kelebihan dan keyakinan buat semua pemain,” katanya pada sidang media program Kita Juara di sini hari ini.
Sementara itu, ketua pasukan Ahmad Nazri Hamzah yang akan membuat penampilan kali ketiganya di Sukan Para ASEAN berazam untuk menamatkan penantian pingat emas kontinjen negara dalam acara itu.
“Permainan kami semakin meningkat dari tahun ke tahun dan pada edisi lepas di Singapura pun kami hampir-hampir mengejutkan juara bertahan, Thailand,” katanya.
Pasukan bola keranjang kerusi roda kebangsaan telah memulakan persiapan sejak tahun lepas yang merangkumi aspek mental dan fizikal para pemain.
Pada pertengahan tahun ini, mereka juga telah ke Iran selama 10 hari bagi menjalani latihan bersama pasukan Isfahan iaitu pasukan tempatan Iran.
Selain itu, bagi meningkatkan prestasi semasa, Majlis Sukan Negara (MSN) turut membantu dengan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan di Daegu dan Seoul, Korea Selatan.
Pasukan bola keranjang kerusi roda negara akan memulakan aksi pada 18 hingga 22 September ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). – BERNAMA