GEORGE TOWN – Seorang pekerja kilang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Jalan Paya Terubong ketika menunggang motosikal meredahi banjir pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang berkata seorang saksi kejadian ternampak, mangsa Noor Afidah Yajunas, 29, terjatuh daripada motosikal dan dihanyutkan arus deras.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan namun hujan lebat dengan paras air yang agak tinggi menyukarkan operasi pencarian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hadisah Jalil, ibu Noor Afidah, ketika ditemui berkata dia bagaikan tidak percaya selepas diberitahu oleh anggota bomba bahawa anaknya dihanyutkan arus banjir yang deras ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dari Relau ke Paya Terubong.
Hujan sejak 3 pagi tadi dengan air laut pasang setinggi 2.1 meter telah mengakibatkan 100 kawasan di Pulau Pinang ditenggelami air.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata satu kejadian tanah runtuh berlaku di pangsapuri Kayangan Puri Mutiara di Tanjung Bungah mengakibatkan enam buah kenderaan yang diletak di kawasan berhampiran telah ditimbus oleh t
anah yang runtuh.
Katanya, sejurus menerima panggilan pada 7 pagi, lapan anggota termasuk penyelia dan ketua balai bomba Bagan Jermal telah bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, kelihatan enam buah kenderaan telah ditimbus oleh tanah yang runtuh dari bukit berhampiran namun tiada mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan,” katanya.
Beliau berkata kerja-kerja mengeluarkan kenderaan yang tertimbus dibantu oleh pekerja dari Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan menggunakan jengkaut.
Katanya keadaan hujan renyai dan air yang turun dari atas bukit telah menyukarkan lagi operasi mengeluarkan kenderaan tersebut. – BERNAMA