KANGAR – Seorang pelajar institusi pendidikan tinggi didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan yang baru dilahirkannya pada awal bulan ini.
Nur Azian Khalid, 22, didakwa melakukan perbuatan itu di tandas lelaki stesyen minyak Shell Jalan Kaki Bukit, Kangar pada 1 Sept lepas sekitar 6.35 pagi.
Tertuduh yang belajar di Pulau Pinang pulang untuk bercuti sempena Aidiladha di rumah datuknya di Kaki Bukit dan dipercayai melahirkan seorang bayi perempuan di stesyen minyak tersebut.
Dia dituduh menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd Azhar Hamzah menetapkan 14 Dis ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…