KOTA BHARU – Seorang pelajar kelainan upaya, Muhamad Rafizan Amran, 20, yang menghidap ketumbuhan dalam hidung, teruja untuk memulakan kuliah pertamanya selepas bergelar mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Muhamad Rafizan yang berasal dari Pontian, Johor, mendaftar sebagai penuntut ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan dan Perbankan Islam) di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini pada 5 Sept lepas.
“Peluang belajar di UMK akan saya manfaatkan sepenuhnya untuk membalas jasa kedua ibu bapa yang selama ini bersusah payah memandangkan ibu hanya suri rumah manakala bapa berniaga menjual pisang goreng,” katanya kepada pemberita di kampus berkenaan hari ini.
Muhamad Rafizan yang turut menghadapi masalah penglihatan akibat penyakit berkenaan, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 2.9 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia bercita-cita untuk bekerja dalam sektor perbankan.
Sementara itu, ibunya Rizaiti Samuri, 45, berkata anak keempat daripada enam beradik tersebut sudah 22 kali menjalani pembedahan akibat penyakit yang dihidapinya dan kali terakhir pada Mei lepas.
Dia menyifatkan anaknya itu seorang yang tabah dan rajin belajar.
“Waktu dilahirkan normal seperti anak-anak yang lain namun pada usia tiga tahun penyakitnya mula dikesan apabila darah keluar dari hidungnya dan sebaik umur empat tahun kesihatannya semakin buruk dan terpaksa dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.
Rizaiti turut bersyukur cita-cita anaknya untuk melanjutkan pengajian di universiti tercapai.
Muhamad Rafizan adalah antara 1,853 pelajar baharu UMK yang mendaftar bagi sesi pengambilan 2017-2018. – BERNAMA