KUALA LUMPUR – Kesemua pelajar yang terselamat dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat Hujung kini ditempatkan di satu lokasi khas.
Pengetua tahfiz berkenaan, Muhammad Zahid Mahmod memberitahu bahawa kesemua pelajar tersebut juga tidak dibenarkan pulang ke rumah pada ketika ini.
Mereka telah diarah untuk mendiami di satu lokasi rahsia buat sementara waktu sebagai langkah keselamatan bagi tujuan melindungi mereka.
“Saya sudah diberi arahan oleh Ketua Polis Negara dan pihak berkuasa lain supaya tidak mengulas lanjut berhubung insiden ini,” katanya dilaporkan Harian Metro.
Bagi mengulas mengenai isu ancaman keselamatan terhadap pusat tahfiz berkenaan, Muhammad Zahid dilihat menafikan dakwaan tersebut.
Sebaliknya beliau berkata, tidak pernah sekalipun perkara pelik berlaku sepanjang 16 tahun pusat tahfiz itu beroperasi.
Muhammad Zahid turut menyatakan bahawa kejadian tragik seperti ini merupakan satu insiden yang amat mengejutkan mereka sendiri.
“Tragedi kebakaran ini satu yang mengejutkan. Maaf, saya tak boleh beritahu atau ulas lanjut,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura