MASIH ingat lagi pelakon yang terkenal dengan gelaran ‘Mak Cik Petir’ atau watak Mak Cik Mary, Noryati Taib?
Mak Cik Mary meraih populariti mendadak setelah watak mak cik yang gilakan karaoke dalam drama popular sekitar tahun 2008, Sindarela berjaya dibawa dengan baik sehingga ‘melekat’ dalam memori penonton.
Bagaimanapun, pelakon komedi itu kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal apabila dimasukkan ke hospital buat kali kedua.
Anak saudaranya yang juga pengarah drama, Shahrulezad Mohameddin menyatakan ibu saudaranya itu telah dimasukkan semula ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru pagi Isnin lalu.
“Sebenarnya Mak Uda (Noryati) dimasukkan ke hospital sejak dua minggu lalu kerana penyakit diabetes dan dia sudah dibenarkan pulang sejak semalam (Ahad) dan keadaannya baik sahaja.
“Bagaimanapun apabila sampai ke rumah dia tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum bapa saudara saya membawanya kembali ke hospital dan saya dimaklumkan Mak Uda mengalami jangkitan kuman pada paru-paru,” katanya dipetik laporan mStar Online.
Sebelum ini, pelakon berusia 60 tahun itu diletakkan dalam keadaan koma untuk membolehkannya berehat.
Namun, selepas dimasukkan ke Unit Penjagaan Kritikal (CCU), keadaannya dilaporkan kritikal dan kini dia ditempatkan di Unit Penjagaan Intensif (ICU).
“Apa saya diberitahu oleh sepupu saya keadaannya masih kritikal dan saya sedang menghabiskan satu babak drama arahan saya iaitu Monalisa sebelum bergegas pulang ke Johor untuk menziarahinya.
“Noryati sepatutnya berlakon dalam drama itu tetapi keadaan kesihatannya tidak mengizinkan dan saya minta dia berehat.
“Saya mohon kepada semua peminat mendoakan agar kesihatan ibu saudara saya kembali pulih,” ujarnya.
Shahrulezad turut memuat naik satu posting di laman Facebooknya mengenai kesihatan pelakon tersebut dan turut meminta netizen mendoakan kesihatan dan kesejahteraan keluarga tersebut.
Noryati sebelum ini pernah membintangi drama bersiri seperti Tari Tirana, Dottie, Syurga Mu Ramadhan, Tipah Torpedo dan banyak lagi.
Semoga Noryati diberikan kesihatan yang baik dan kembali ke layar kecil menghiburkan peminat menerusi lakonannya. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim