PUTRAJAYA – Pelaksanaan cukai pelancongan mulai 1 Sept berjalan lancar dan baik setakat ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
“Namun pihak kementerian belum menerima maklum balas sepenuhnya,” katanya ketika ditanya perkembangan pelaksanaan cukai pelancongan yang dijangka dapat mengutip RM210 juta hasil pendapatan setiap tahun.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini bagi mengumumkan pencalonan Anugerah Pelancongan Malaysia (APM) 2016/2017, Mohamed Nazri berkata soal pelancong enggan membayar cukai pelancongan juga tidak berbangkit kerana ia merupakan norma di negara lain.
Katanya pelancong ke negara ini dikenakan cukai pelancongan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk setiap malam apabila menginap di premis penginapan termasuk hotel, rumah tumpangan, rumah rehat dan rumah penginapan kerana ia telah dimasukkan dalam sistem daftar masuk.
Di Myanmar sebagai contoh, katanya, pelancong asing dikenakan kadar cukai pelancongan yang berbeza berbanding warga tempatan.
“Kita perlu faham membayar cukai pelancongan adalah satu norma di negara-negara lain. Jadi tidak menjadi isu di sini,” katanya ketika ditanya terdapat aduan bahawa pengusaha hotel bajet terpaksa menanggung cukai pelancongan kerana pelancong enggan membayar.
Mohamed Nazri dalam pada itu mempelawa penggiat industri pelancongan Malaysia dan antarabangsa untuk menghantar pencalonan bagi 14 kategori yang dipertandingkan dalam APM 2016/2017.
APM, yang dianjurkan dua tahun sekali, bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada penggiat industri pelancongan dalam dan luar negara atas kecemerlangan membangunkan produk dan perkhidmatan yang inovatif, katanya.
Bagi edisi kali ini, dua kategori baharu diperkenalkan iaitu Pusat Hiburan Terbaik dan Syarikat Penerbangan Terbaik manakala kategori Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia diberi nafas baharu sebagai “Dokumentari Pelancongan dan Iklan Televisyen Terbaik Mengenai Malaysia”, katanya.
Borang rasmi APM boleh didapati dari pejabat-pejabat Tourism Malaysia dan 22 Pusat Penerangan Pelancongan di seluruh negara dan selain itu borang boleh dimuat turun daripada laman web rasmi www.tourism.gov.my dan www.motac.gov.my serta ia boleh diemelkan kepada apm2017@tourism.gov.my – BERNAMA