MARAN – Seorang pemandu lori maut manakala kelindannya cedera ringan selepas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 189.2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata kejadian pukul 6.57 pagi itu menyebabkan mangsa Muhammad Azharnizam Mamat, 27, yang berasal dari Jengka 8 di sini, tersepit di tempat duduk pemandu.
Rakannya, Mohd Kamal Abdul Razad, 36, dari Felda Bukit Sagu, Kuantan hanya cedera ringan dan difahamkan semasa kejadian mereka dalam perjalanan membawa minyak pelincir kenderaan ke Kuala Lumpur.
“Pemandu treler Mohd Rafi Abdullah dan kelindannya C. Keteswaran yang juga sedang menghala ke Kuala Lumpur mendakwa mereka terdengar bunyi dentuman yang kuat dari belakang menyebabkan mereka berhenti di lorong kecemasan.
“Semasa memeriksa bahagian belakang treler, mereka melihat lori yang dipandu mangsa seperti melekat di belakang treler dan terus menghubungi polis. Kelindan lori (Mohd Kamal) hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Jengka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Noor menambah mayat mangsa dibawa keluar dengan pertolongan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran dan dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA