PENYANYI dari seberang sememangnya cukup gemar memilih Malaysia sebagai lokasi untuk menghiburkan para peminat mereka.
Baru-baru ini, penyanyi lagu Semusim, Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan atau lebih dikenali sebagai Marcell telah mengadakan konsert ‘Marcell-Once In A Lifetime’ pada 23 Sepmetmber yang lalu.
Konsert itu telah diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,di sini.
Menurut Marcell, dia sendiri tidak menyangka bahawa dia telah berjaya merealisasikan impiannya bagi mengadakan konsert bersama peminatnya disini.
“Saya rasa konsert ini tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa peminat dan ‘support system’ yang saya ada sejak dulu lagi.
“Mereka bersama-sama saya selama 12 tahun sebagai pemuzik yang mengiringi setiap persembahan saya,” katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.
Baginya, peminat merupakan tonggak utama dalam perjalanan kerier seninya, selain sokongan yang tak henti-henti daripada keluarga dan isterinya, Rima Melati Adams.
Pada konsert yang gilang gemilang itu, dia telah menghiburkan para penonton dengan mempersembahkan sebanyak 40 buah lagu termasuk dinyanyikan secara medley.
Wow… 40 lagu sekali harung! Hebat betul Marcell ni.
Lagunya yang popular di sini, Hanya Memuji gandingan bersama Shanty masih lagi bermain di bibir peminatnya.
Tambah Marcell lagi, konsert yang telah diadakan itu merupakan konsert pertamanya sejak bergelar anak seni. Patut lah terus nyanyi 40 buah lagu.
Noh Salleh juga turut memeriahkan konsert itu dengan mempersembahkan lagu hitnya, Angin Kencang.
Difahamkan juga bahawa Marcell telah menyambut hari lahirnya yang ke-40 pada 21 September yang lalu. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizaah