BOLEH dikatakan pembabitannya dalam industri hiburan tanah air baru setahun jagung, namun nama Khai Bahar semakin mendapat tempat di hati peminat.
Dengan gelaran King of Smule yang diberikan kepadanya, penyanyi berusia 23 tahun ini mampu mengumpul 896,000 pengikut di laman Instagramnya.
Nama Khai bukan sahaja terkenal di Malaysia, tetapi turut menjadi sebutan peminat yang berada di Indonesia.
Atas populariti melonjak itu, Khai akan mengadakan konsert sulungnya di Hong Kong tidak lama lagi.
Malah, dengar-dengarnya konsert itu ditaja sepenuhnya oleh peminat Indonesia yang menetap di bandar itu! Wow!
“Memang terharu apabila mendapat tahu mereka yang menggelarkan diri sebagai KBFC Hong Kong sanggup mengeluarkan wang untuk membawa saya ke Hong Kong mengadakan persembahan.
“Saya dimaklumkan mereka mula mengumpul wang pada hari pertama saya berjinak dengan aktiviti Smule,” katanya dipetik laporan BH Online.
Menurut anak kelahiran Perlis ini lagi, konsert tersebut akan diadakan pada 15 Oktober hadapan di sebuah stadium di Hong Kong.
Namun, sehari sebelum konsert itu berlangsung, Khai akan berada di Singapura untuk menghadiri Anugerah Planet Muzik (APM) 2017. Khai turut tercalon dalam kategori Artis Paling Popular APM dan kategori Lagu Paling Popular menerusi single pertamanya, Bayang.
Jangan tak tahu, Khai Bahar juga merupakan pemegang title Artis Baharu Lelaki Popular ABPBH dan Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 3.0 pada tahun lalu.
Konsert ini juga merupakan konsert solo pertamanya sejak bergelar artis setahun lalu. Menurut penyanyi lagu Luluh ini, konsep konsert berkenaan ditentukan oleh peminat-peminatnya sendiri termasuk jumlah lagu yang perlu didendangkan.
“Daripada jumlah lagu yang bakal dinyanyikan serta senarai dendangan, semuanya ditentukan peminat.
“Mereka yang akan pilih lagu untuk saya. Buat masa ini, saya masih belum menerima maklumat daripada mereka… Kenalah tunggu,” ujarnya.
Bertuah Khai mempunyai peminat yang setia seperti KBFC sehinggakan mereka turut meraikan ulang tahun hari lahirnya walaupun dia tidak berada di Hong Kong.
Dalam pada itu, penyanyi bersuara lantang ini bakal mengadakan siri promosi di Jakarta pada akhir bulan ini. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim