KEGIGIHAN seorang warga emas berusia 106 tahun yang buta, yang terpaksa diusung merentasi kawasan pergunungan di Afghanistan semata-mata untuk berhijrah ke Sweden, ternyata tidak berbaloi apabila dia diarah dihantar pulang ke negaranya.
Bibikhal Uzbek, dipercayai pencari suaka paling tua di dunia namun kini dia terpaksa pulang ke Afghanistan. Keluarganya percaya Bibikhal tidak akan dapat bertahan dalam perjalanan pulang itu.
Dua tahun lalu, cucu-cucu dan anak lelakinya telah mengusung Bibikhal melalui kawasan pergunungan semata-mata kerana ingin keluar dari negara bergolak itu.
Malangnya, permohonannya untuk mencari suaka di Sweden pada Jun lalu telah ditolak. Dia juga menghidap strok dan tidak boleh melihat, bercakap atau berjalan.
Meskipun keluarganya merayu supaya dia dibenarkan menghabiskan hayat di Sweden namun agensi Imigresen Sweden memutuskan bahawa kampung halamannya, Kunduz adalah selamat untuk seluruh keluarga itu kembali ke sana.
“106 tahun usianya. Dia tidak boleh melihat, tidak boleh bercakap, tidak boleh berjalan dan sakit. Saya tidak faham kenapa permohonannya ditolak,” kata anaknya. – MYNEWSHUB.CC