MIRI – Penduduk di tengah bandar Limbang gempar apabila seekor buaya seberat satu tan serta sepanjang lima meter ditemui awal pagi ini.
Kehadiran reptilia tersebut mula tular dalam media sosial seawal 7 pagi ini kerana kejadian pelik seekor buaya ditemui di tengah bandar tidak pernah berlaku sebelum ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Limbang, Edmund D. Mahai Amboh berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar 7.36 pagi ini melaporkan mengenai kemunculan reptilian tersebut.
Buaya itu akhirnya berjaya ditangkap berhampiran pusat komersial West Lake, berdekatan kawasan perumahan Limbang pada 8.15 pagi.
“Bomba menangkap buaya tersebut setelah menutup kepala serta mengikat kesemua kakinya dan ia akan diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak untuk tindakan susulan,” katanya ketika hari ini.
Untuk rekod, bandar Limbang terletak lebih 250km dari bandar raya Miri dan dipisahkan oleh sempadan Brunei. – BERNAMA