SHAH ALAM – Pengguna aplikasi WhatsApp di negara ini harus mempertingkat kawalan kendiri serta lebih bertanggungjawab menentukan kesahihan sesuatu maklumat yang dikongsi, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.
Beliau berkata kesalahan berkaitan penyalahgunaan aplikasi WhatsApp di negara ini ditangani secara baik dan masih terkawal kerana ada undang-undang secukupnya untuk mengambil tindakan terhadap sebarang penyalahgunaannya.
Sebanyak 25 kes penyalahgunaan aplikasi WhatsApp dicatatkan pada 2015 manakala 27 kes dari awal tahun ini sehingga kini, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majis makan tengah hari bersama media pada Forum Media Kebangsaan 2017 di Hotel UiTM, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wartawan sama ada Malaysia akan mengikuti jejak langkah China yang disebut-sebut akan menyekat penggunaan aplikasi WhatsApp terutama fungsi penghantaran video dan mesej suara sempena Perhimpunan Parti Komunis China yang akan didakan di republik itu bulan depan.
China dikatakan sebaliknya membenarkan penggunaan aplikasi Wechat yang dikawal dan dioperasikan oleh syarikat China, Tencent di Shenzen.
Dalam pada itu, Jailani berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan China menyekat penggunaan WhatsApp dan seterusnya membenarkan penggunaan aplikasi Wechat sebab ia mudah dikawal oleh mereka.
“Jadi apa yang mereka tidak dapat kawal, mereka sekat dan apa yang mereka boleh kawal, mereka benarkan,”katanya.
Sementara itu, ketika berucap pada forum itu, Jailani berkata media yang peka dan bertanggungjawab tidak akan memberi perhatian terhadap laporan mengenai kumpulan ekstremis ataupun aktiviti mereka.
Beliau berkata media mempunyai kuasa untuk mengapi-apikan sesuatu isu atau sebaliknya tidak memberi publisiti kepada perkara lain.
“Contohnya, pihak ekstremis memang mengharapkan liputan media setiap kali mereka membuat serangan atau pembunuhan kejam.
“Justeru, media yang bertanggungjawab tidak memberi puak ekstremis apa yang mereka idamkan, iaitu publisiti,” katanya.
Forum sehari itu dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) membincangkan pelbagai isu semasa media dengan matlamat menghasilkan rumusan mengenai perancangan media pada masa hadapan. – BERNAMA