Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

Persidangan DUN Pahang Pertama...

KUANTAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pertama selepas Pilihan Raya Umum...

Guan Eng Belum Mohon...

JELEBU - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdepan tindakan sivil atau...

Kena Sebat Kerana Berjudi

ACEH TIMUR - Sekumpulan lelaki yang ditangkap kerana berjudi dihukum sebat di khalayak...

Siti Nordiana Kekok Jadi...

NAMA Siti Nordiana semakin 'hangat' apabila menjuarai program realiti Gegar Vaganza dua tahun...

Pengurusan Banjir & Sungai Dapat Perhatian Dunia

KUALA LUMPUR – Sikap sebilangan rakyat Malaysia yang menjadikan sungai sebagai ‘tong sampah’ mereka turut mendapat teguran pakar pengurusan air terkemuka dunia, Prof Roger A. Falconer.

Menurut beliau, sudah tiba masanya untuk pihak yang bertanggungjawab mengenakan denda yang tinggi kepada pelaku kesalahan itu.

“Memang ramai yang suka buang sampah ke dalam sungai. Itulah yang berlaku di negara saya 20 tahun lalu. Sekarang kalau orang yang buang sampah itu kena tangkap, kesalahan itu dianggap besar.

“Suatu hari ada seorang berkata kepada saya tak guna juga bayar denda. Seperti memandu laju, jika ada yang beranggapan jika mereka boleh lepas mereka akan memecut kenderaan mereka tetapi jika mereka mudah ditangkap dan didakwa, mereka tentu tak akan buat.

“Untuk itu, pihak berkuasa Malaysia perlu bertindak tegas,” kata Falconer, Profesor dalam bidang Pengurusan Air di Universiti Cardiff, United Kingdom.

Beliau adalah antara 1,150 pakar serta wakil berada di Malaysia dari 61 buah negara menghadiri Kongres Dunia Persatuan Antarabangsa bagi Kejuruteraan Hidro Alam Sekitar dan Penyelidikan (IAHR) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 13 hingga 18 Ogos lepas.

Selain pembentangan 772 kajian, sesi forum dan pelbagai mesyuarat teknikal, tumpuan turut diberikan kepada perkembangan teknologi pengurusan air yang dilaksanakan di Malaysia.

Delegasi kongres turut dibawa melawat beberapa projek berkaitan pengurusan air seperti terowong SMART, Taman Wetland Putrajaya, Projek Sungai Nadi Kehidupan di Sungai Klang, Sistem Penuaian Air Hujan di Taman Wetlands Paya Indah di Dengkil, Selangor dan projek Pemulihan dan Mencantikkan Sungai Melaka di Bandaraya Melaka.

ISU BANJIR KILAT

Umum mengetahui, Kuala Lumpur amat sinonim dengan isu banjir kilat dan ramai warga kota tentunya masih ingat betapa dahsyatnya banjir besar yang berlaku pada 2003 dan 2007 dan pada bulan Mei 2016.

Meskipun program tebatan banjir dan pembinaan terowong SMART banyak membantuk pengurusan banjir, hakikatnya banjir kilat masih berlaku di bandaraya metropolitan ini.

Meskipun belum ‘selamat’ sepenuhnya daripada ancaman banjir, usaha serta tindakan yang diambil dalam usaha pengurusan banjir di negara ini tetap mendapat pujian Falconer.

“Usaha yang dibuat untuk menangani masalah banjir di negara ini adalah lebih baik daripada negara lain di dunia. Mereka boleh belajar dari Malaysia. Sewaktu saya menganjurkan satu sesi wacana beberapa tahun lalu, kami berbincang bagaimana Malaysia mengendalikan hujan lebat. Longkang dibina sedalam semeter berbanding di negara kita yang tidak dibina untuk menghadapi cuaca buruk.

“Terowong Smart dan sungai diselenggara dengan baik untuk menghadapi banjir berbanding negara lain,” tambahnya.

Pakar dari India, Sushmita Mandal, Pengurus Program Pertubuhan Air Antarabangsa berpandangan kejadian banjir bukan sepenuhnya berlaku akibat perubahan cuaca atau impak perubahan iklim dunia.

Menurut beliau, teknik pengurusan air di sesuatu bandar turut menyumbang kepada kejadian berkenaan.

AMBIL KIRA KEPENTINGAN PENGGUNA

Menyentuh isu banjir yang masih menghantui kawasan pantai timur, pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diharap dapat mengambil kira kepentingan pengguna.

Dr. Balqis Mohamed Rehan, pensyarah kanan , Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata risiko berlakunya banjir memang tidak dapat dielak tetapi perancangan yang baik boleh meminimumkan kesan daripada kejadian itu.

“Yang paling utama perkhidmatan tidak terjejas sekiranya berlaku banjir. Mungkin landasan boleh dibina di tempat yang tidak terjejas banjir tetapi perlu difikirkan juga jika banjir berlaku, bagaimana masyarakat setempat boleh menggunakan perkhidmatan ini, ” katanya.


Sementara itu, Prof. Madya Dr. Shanker Kumar Sinnakaudan, Ketua Pusat Kajian Kejuruteraan dan Pengurusan Sumber Air, Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata kepentingan masyarakat diutamakan dalam pembangunan ECRL iaitu penilaian impak sosial dan alam sekitar.

“Perdana Menteri sendiri mengambil berat akan impak sosial. Malahan untuk projek kecil pun beliau akan membuat penilaian. Ini adalah mandatori. Impak yang dinilai adalah seperti kesan pembangunan ini kepada penduduk setempat seperti guna tanah dna kesan kepada aktitviti ekonomi setempat ,” kata beliau.

PELIHARA EKOLOGI

Isu pemulihan dan pemuliharaan ekologi turut menjadi topik utama di kongres ini apabila dia dibangkitkan dalam ucapan dasar Prof. Dr. Silke Wieprecht dari Universiti Stuttgart, Jerman.

Menyentuh tentang pengurusan ekologi di Malaysia, Prof. Wieprecht berkata dari konteks yang lebih luas, pengurusan ekologi yang baik sebenarnya akan memberi kesan positif kepada perkembangan ekonomi dan pembangunan modal insan.

Beliau menekankan bahawa isu mengenai sistem ekologi seperti sungai sering berkait dengan perancangan penggunaan tanah sama ada di negara sedang membangun seperti Malaysia dan Thailand atau negara mahu seperti Jerman.

“Pengaruh kegiatan di bahagian hulu sungai seperti perladangan, pembasmian hutan, penggunaan racun perosak di ladang atau menarah lereng bukit yang menyebabkan aliran mendapan ke dalam sungai.

“Kita perlu memutuskan penggunaan tanah yang sesuai menurut jenis tanaman yang berbeza dan reka bentuk teres di lereng bukit,” tambahnya.

Mengakui kesedaran pemeliharaan ekologi sebenarnya masih rendah di seluruh dunia, Prof Wieprecht berkata di sesetengah tempat di benua yang lain, kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan air sungai hanya wujud bila keadaan sudah menjadi teruk.

“Kita ambil air minuman dari bawah tanah sebagai alternatif kepada air di permukaan tetapi kini kita mula sedar paras air bawah tanah semakin menyusut di seluruh dunia. Bila kita mahu ambil air permukaan, ia terlalu kotor.
“Keadaan ini mungkin tidak dirasakan sangat di Malaysia kerana negara ini banyak hujan,” jelas beliau.

SEMAKIN PENTING

Teknologi pengurusan air akan terus menjadi bidang penting sesuai dengan arus pembangunan negara dan kepekaan perlunya aplikasi teknologi hijau yang semakin dipandang serius.

Oleh sebab itu, kajian yang fokus kepada menyelesaikan cabaran tempatan perlu terus dilakukan agar penyelesaian yang diambil betul-betul sesuai dengan masalah yang dihadapi rakyat negara ini.

“Kita tidak mahu hanya meniru cara yang dibuat di negara luar yang belum tentu sesuai dengan keadaan di sini.
“Langkah ini perlu bagi memastikan tindakan yang sepatutnya menjadi penyelesaian masalah tidak memberi impak buruk kepada rakyat,” kata Ir. Mohd Radzi Abd Hamid, Pengarah Pusat Kajian Pantai dan Oseanografi, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

Delegasi dari India, Dr. P. V. Timbadiya, Penolong Profesor, Bahagian Kejuruteraan Awam Institut Teknologi Kebangsaan S.V di Gujerat, India, amat berminat dengan projek N-Code oleh Nahrim yang menjana elektrik menggunakan tenaga ombak.

“Mereka (Nahrim) telah membuat beberapa pemasangan di dalam laut untuk kajian. Idea ini amat bagus. Beberapa uji kaji dilakukan di negara lain tetapi setakat ini belum lagi berjaya dilaksanakan. Mungkin apa yang Kerajaan Malaysia buat boleh membuahkan kejayaan, ” katanya.

Bagi pelajar PhD, Sekolah Kejuruteraan, Universiti Cardiff, United Kingdom, Nejc Coz, beliau tertarik dengan projek ‘Sungai Nadi Kehidupan’ di Sungai Kelang.

“Bagi saya, ia satu projek yang amat baik. Di Eropah, banyak bandar melakukan perkara yang sama untuk menghidupkan semula sungai mereka.

“Sekiranya kita mempunyai sungai yang mengalir di tengah-tengah bandar, penting untuk memastikan sungai itu bersih. Dari sudut pelancongan dan perniagaan, langkah ini akan menjadikan bandar berkenaan lebih berdaya maju dan bagus untuk didiami, ” katanya. – Bernama

Kategori