SANDAKAN – Pengusaha tanaman makanan khususnya buah-buahan dan sayur-sayuran di negeri ini digalakkan mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) untuk menjaga kualiti dan keselamatan makanan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Zakaria Mohd Edris berkata mendapatkan persijilan adalah sebagai bukti bahawa ladang atau kebun pengusaha mengamalkan APB.
Katanya adanya sijil persijilan APB (myGAP) yang sudah diterima pakai oleh kebanyakan negara di dunia, secara tidak langsung akan menaikkan keyakinan pengguna terhadap produk keluaran mereka adalah berkualiti dan selamat dimakan.
APB merupakan amalan pertanian yang menekankan aspek keselamatan, alam sekitar, ekonomi dan sosial untuk memastikan produk yang dihasilkan selamat dan berkualiti, katanya ketika merasmikan Seminar ABP anjuran Jabatan Pertanian Sabah di sini, hari ini.
Seminar sehari itu disertai 450 peserta dari daerah ini, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Tongod.
Zakaria berkata sejak tiga tahun kebelakangan ini, Jabatan Pertanian Sabah telah memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang telah diberi bimbingan.
Beliau berkata bagi Bahagian Sandakan, sebuah ladang di Beluran mengusahakan tanaman buah naga telah mendapat persijilan myGAP. – BERNAMA