KUALA LUMPUR – Peperiksaan bertulis The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) akan tetap dijalankan pada 4 hingga 8 Sept ini seperti yang dijadualkan.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata peperiksaan itu melibatkan 35 pusat peperiksaan dengan 21,706 calon di 13 negeri.
Menurut kenyataan itu, peperiksaan tersebut dilaksanakan serentak di seluruh dunia di lima zon masa berbeza yang mana Malaysia berada di zon masa yang keempat.
“Sehubungan itu, kesemua calon yang berdaftar dikehendaki hadir ke pusat peperiksaan mengikut kertas yang telah didaftarkan bagi menduduki peperiksaan ACCA tersebut mulai Isnin, 4 Sept 2017,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan 4 Sept sebagai cuti umum di seluruh negara bagi menghargai pengorbanan atlet dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 pada 19 hingga 30 Ogos lalu.
Pengisytiharan itu juga sebagai menghargai sokongan tinggi seluruh rakyat Malaysia sempena temasya dwitahunan itu yang menyaksikan negara muncul juara keseluruhan dengan meraih 145 pingat emas. – BERNAMA