KUALA LUMPUR – Satu lagi tragedi berlaku di sebuah sekolah tahfiz berasrama dan seperti biasa bermulalah keadaan saling menuding jari mencari siapa yang bersalah dengan kebanyakannya berkisar kepada kenapa dan bagaimana ia terjadi.
Dan seperti biasa juga, satu lagi jawatankuasa siasatan khas akan ditubuhkan untuk menyiasat tragedi itu yang mengorbankan 21 budak dan remaja lelaki dan dua warden dalam kebakaran pada awal pagi di sini semalam.
Ia merupakan bencana kebakaran terbesar di negara ini sejak kejadian 27 pelajar rentung kira-kira 28 tahun lepas di sebuah lagi sekolah agama di Yan, Kedah.
Terdapat begitu banyak kejadian kebakaran berlaku di premis sedemikian sejak beberapa tahun lepas sehinggakan sukar untuk diterima akal bahawa pihak berkuasa sekolah seolah-olah tidak ambil peduli dari segi mengambil langkah-langkah pencegahan.
Sejak 2011 sahaja, sekurang-kurangnya 31 insiden dan tragedi serupa berlaku dan malah jumlah itu masih belum cukup untuk menyedarkan pihak berkuasa sekolah dan sama penting juga, Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) untuk berfikir di luar kotak dengan menjadikan sebagai keutamaan untuk membetulkan keadaan itu.
Apa yang ingin diperkatakan di sini adalah ia membabitkan nyawa begitu banyak kanak-kanak dan remaja yang diletakkan di bawah jagaan mereka oleh para ibu bapa, dengan sekolah seumpama itu tumbuh umpama cendawan selepas hujan di seluruh negara, keadaan boleh menjadi lebih buruk sebelum menjadi lebih baik.
Kita pastinya tidak perlu membelanjakan masa dan wang untuk melakukan satu lagi penyiasatan yang menjerihkan kerana ia bukannya mudah.
Apa yang Bomba perlu lakukan adalah melaksanakan penguatkuasaan ketat terhadap aspek keselamatan mencegah kebakaran di semua premis sekolah tahfiz berasrama sepertimana dilakukannya di premis-premis lain mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Kenapa tidak?
Pendek kata, tidak harus berlaku keadaan berat sebelah dalam penguatkuasaan kerana di sini kita memperkatakan tentang nyawa manusia.
Malah, premis-premis seumpama itu yang banyak daripadanya dilaporkan tidak berdaftar atau diuruskan oleh ustaz secara individu perlu diletakkan di bawah penguatkuasaan lebih ketat berdasarkan hakikat bahawa ia mempunyai jumlah pelajar yang banyak ditempatkan di asramanya.