TIDAK dinafikan, Perodua Myvi merupakan antara model segmen B terlaris di Malaysia sejak dilancarkan 12 tahun lalu.
Myvi atau juga gah dengan julukan the king of highway itu begitu terkenal dengan ketangkasannya di jalan raya, ianya juga mendapat pujian ramai kerana mempunyai reka bentuk yang sporty dan jarang menimbulkan masalah.
Dengan harganya yang berada di dalam lingkungan mampu milik, Myvi sehingga ke hari ini terus menjadi kegilaan anak muda.
Seperti yang diketahui, Perodua Myvi yang berada di pasaran ketika ini merupakan model generasi ke-2 yang dilancarkan pada 2011.
Menurut laporan portal automotif Paul Tan, Perodua Myvi generasi baharu mungkin akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.
Berdasarkan ramalan Unit penyelidikan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF Research), kereta ikonik berkenaan akan muncul untuk versi generasi ketiga tahun ini, seterusnya memperkuatkan semula jumlah jualan sektor automotif tempatan pada separuh kedua 2017.
Walaupun masih lagi belum jelas apa yang akan Perodua lakukan untuk Myvi baharu ini, namun apa yang pasti model sedia ada kini sudahpun berusia enam tahun dalam pasaran dan ianya sudah masa untuk digantikan.
Tambahan pula Toyota Passo dan Daihatsu Boon generasi terkini sudah pun dilancarkan di Jepun setahun lalu, dan berkemungkinan besar Perodua turut akan menghasilkan versi mereka sendiri tidak lama lagi.
Myvi generasi ke-3 ini akan dijanakan barisan enjin siri NR Toyota dengan kapasiti 1.3 liter dan 1.5 liter, termasuk enjin 1NR-VE 1.3 liter Dual VVT-i dengan kuasa 94 hp/124 NM yang kini digunakan pakai pada Perodua Bezza.
Enjin-enjin berkenaan bakal dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan elektronik E-AT.
Model baharu tersebut juga dijangka bakal diperkenalkan dengan ciri-ciri yang ada pada Bezza seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sistem auto start/stop serta kawalan kestabilan kenderaan (VSC) pada model-model varian tertinggi.
Selain itu, model baharu ini juga bakal dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan aktif seperti brek kecemasan dan amaran keluar laluan memandangkan Perodua pernah dijumpai menguji Daihatsu Move Custom yang dilengkapi sistem Smart Assist II sebelum ini. – MYNEWSHUB.CC