KUALA LUMPUR – Kejadian banjir tidak sepatutnya dijadikan sebagai bahan politik untuk mengkritik pentabdiran kerajaan DAP Pulau Pinang.
Pandangan itu ditegaskan oleh pemimpin Pakatan Harapan yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Balik Pulau, Datuk Abd Halim Hussain.
Kata beliau, menuding jari ke atas kerajaan DAP Pulau Pinang disebabkan bencana banjir di negeri itu tidak akan mengubah keadaan.
Ironinya, DAP sebelum ini sering menuduh banjir yang berlaku di negeri ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) dan PAS kononnya disebabkan oleh gejala rasuah.
“Ia tidak akan mengubah keadaan sedangkan rakyat (Pulau Pinang) akan terus dihimpit dengan kesusahan.
“Apa yang diperlukan adalah idea solusi,” kata Abd Halim mempertahankan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam satu kenyataan media hari ini.
DAP sedang dikecam hebat oleh rakyat kerana parti itu sebelum menang Pilihan Raya Umum di Pulau Pinang mendakwa mampu menyelesaikan masalah banjir hanya dalam tempoh sepenggal memegang kuasa.
Abd Halim di sebalik pandangannya itu bagaimanapun seolah-olah `menunding jari’ kepada kerajaan Pusat berikutan banjir di Pulau Pinang.
“Amat dikesalkan sebagai sebuah negeri yang menyumbang purata RM7 billion cukai tahunan kepada Kerajaan Pusat, Kerajaan Pulau Pinang tidak di peruntukkan belanjawan yang munasabah bagi pembangunan negeri itu,” dakwanya. – MYNEWSHUB.CC