DHAKA – Barisan pokok bonsai Cina ditanam baru-baru ini di sepanjang jalan utama di ibu kota Bangladesh, Kini ia berkembang mekar kehijauan, memberikan suasana Dhaka menjadi indah.
Jalan utama terletak di luar kawasan Lapangan Terbang Hazrat Shahjalan, kini telah berwajah baharu dengan penanaman pokok hiasan dan pembangunan lainnya yang giat dilaksanakan di sepanjang laluan pejalan kaki.
Pokok bonsai Ficus menghiasi sepanjang Jalan Lapangan Terbang, salah satu laluan paling sibuk di bandar raya ini. Beribu-ribu orang melintasi jalan raya ini dan berpeluang menikmati keindahan suasana baharu tersebut.
Ini kerana bonsai dianggap sesuatu yang indah di negara ini, di mana penduduk setempat hanya biasa melihat pokok bonsai bersaiz kecil sahaja sebelum ini di premis tertentu atau menerusi pembacaan umum.
Bangladesh telah memperoleh pokok bonsai Ficus ini dari China di bawah projek pencantikan bernilai berbilion taka (unit mata wang Bangladesh), yang juga termasuk dalam zon permainan kanak-kanak dan tempat parkir kereta.
Selain itu, projek ini turut meliputi pewujudan zon menunggu moden serta gerai petak perkhidmatan menyediakan liputan wi-fi, air minuman percuma, tandas awam dan ruangan mesin juruwang automatik (ATM) bank terpilih.
Ia juga termasuk projek mesin layan diri minuman dan makanan ringan, pengecasan telefon bimbit secara percuma, petak pertukaran wang, ruangan penyalinan dan penyusuan anak, peti polis dan juga tambah nilai telefon bimbit.
Berbalik kepada cerita penanaman bonsai secara besar-besaran, ramai penduduk nyata teruja. Seorang pelajar kolej setempat dikenali sebagai Nadia, berkata bahawa beliau tidak pernah melihat pokok bonsai seperti ini sebelum ini.
“Ia memang hebat. Pokok ini seperti telah menyesuaikan diri dengan tempat ini,” katanya. Jalal Uddin Ahmed, seorang jurutera projek pula, berkata bahawa mereka telah berjaya menanam 100 batang pokok bonsai.
“Kami berasa kagum untuk mengetahui sejarah bonsai ini.” Bonsai, yang bermaksud ‘penanaman dulang adalah sejenis bentuk seni terkenal Jepun, menggunakan sistem pertumbuhan pokok ditanam dalam bekas atau pasu.
Ia sebenarnya berasal dari China seawal empat ribu tahun lalu. Pokok-pokok bonsai untuk projek khas ini diimport dari China, kata Jalal Uddin, sambil menambah bahawa “ia sangat-sangat dihargai di negara kami ini.”
Firma swasta Vinyl World Group di bawah pengawasan Jabatan Jalan Raya dan Lebuh Raya Bangladesh telah ditugaskan untuk menanam pokok-pokok ini menerusi projek pemodenan yang bertujuan menaik taraf Dhaka.
Ini termasuk lapangan terbang dan ia telah dilancarkan pada Februari tahun ini. Pemasangan banyak tugu juga telah dilaksanakan yang menggambarkan pelbagai peristiwa sejarah utama negara di sekitar Bangladesh.
Menteri Pengangkutan Jalan Raya dan Jambatan Bangladesh, Obaidul Quader, secara rasmi melancarkan projek tersebut, dengan menyatakan bahawa jalan berkenaan akan menjadi jalan contoh dan penanda aras di negara itu.
Terdapat juga ruang-ruang tumbuhan renek di kebanyakan jalan-jalan utama untuk mempamerkan kemajuan negara Asia Selatan itu buat tatapan para pelancong asing. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA