JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya melumpuhkan sebanyak 54 premis judi serta merampas 1,010 mesin perjudian dalam satu operasi besar-besaran mulai 10 sehingga 20 September lepas sekitar negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Azman Ayob berkata operasi itu turut menyaksikan seramai 282 orang ditahan selain rampasan wang tunai berjumlah RM20,819.
Azman berkata operasi itu dijalankan bertujuan untuk membanteras kewujudan aktiviti perjudian haram yang wujud secara bersembunyi walaupun tindakan tegas telah diambil sebelum ini.
āKepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor memandang serius semua kegiatan berbentuk sindiket daripada terus menular dan mebelenggu kehidupan masyarat seharian.
āOperasi ini akan dijalankan secara berterusan sehingga pihak polis dapat melumpuhkan sepenuhnya kegiatan ini,ā katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, bagi memastikan aktiviti ini dapat dibanteras sepenuhnya, polis Johor turut bekerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) dengan melakukan pemotongan elektrik di premis-premis yang menjalankan kegiatan mesin perjudian dalam talian ini.
āBagi tempoh Januari hingga Ogos 2017, sebanyak 120 buah premis yang menjalankan aktiviti-aktiviti mesin perjudian telah dipotong bekalan elektrik.
Dalam tempoh yang sama juga, pihak polis telah membuat sebanyak 674 serbuan ke atas premis yang disyaki menjalankan kegiatan mesin perjudian, menangkap 4,079 individu, merampas 12,999 buah mesin judi haram dan merampas wang tunai sebanyak RM273,489,ā jelasnya.
Dari jumlah berkenaan, sebanyak 223 kes telah dituduh di mahkamah.
Selain itu, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas pengusaha aktiviti perjudian haram di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM 20,000 dan tidak melebihi RM200,000 dan boleh dihukum penjara bagi tempoh tidak melebihi lima tahun, katanya. – BERNAMA