PORT DICKSON – Sebanyak 248 mesin simulator dan 645 komputer yang digunakan untuk kegiatan judi siber bernilai RM1.65 juta dilupuskan oleh pihak polis hari ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin berkata barang rampasan tersebut ialah hasil operasi pihak polis bagi tempoh 2006 hingga kini.
“Hari ini pihak kami telah bekerjasama dengan Kualiti Alam Sdn Bhd bagi proses melupuskan barang kes dengan kaedah yang sesuai bagi setiap komponen mesin judi.
“Barang kes ini ialah hasil daripada operasi judi siber yang dibuat di daerah Port Dickson, Jempol, Seremban, Nilai dan Rembau”, katanya pada sidang media Program Pelupusan Barang Kes Mesin Judi Siber PDRM Negeri Sembilan di sini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar Nor Hazni Mat Sari dan Pengarah Kualiti Alam Sdn Bhd Khalid Bahsoon.
Pada sidang media itu juga beliau memberi amaran kepada individu yang terlibat dalam kegiatan judi siber akan tindakan tegas berterusan pihak polis dalam usaha merealisasikan fokus utama ketua polis negara iaitu pembanterasan segala bentuk perjudian.
“Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana operator termasuk pegawai atau anggota polis yang bersengkokol melindungi gejala perjudian siber ini dan tindakan undang-undang akan diambil jika didapati bersalah.
“Saya meminta orang ramai supaya bekerjasama membanteras gejala judi siber ini kerana ia bukan sahaja menimbulkan gejala sosial yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat tetpi juga meruntuhkan institusi kekeluargaan,” katanya. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…