KUALA LUMPUR – Memasuki hari ketiga tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Ujung di sini, yang meragut 23 nyawa, orang ramai terus menunjukkan keprihatinan dengan melawat lokasi kejadian sejak awal pagi tadi.
Malah lokasi berkenaan terus menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam yang datang sendiri untuk menghulurkan sokongan serta sumbangan kepada pusat berkenaan.
Pengetua pusat tahfiz itu, Mohd. Zahid Mahmod yang turut berada di lokasi, kelihatan terharu serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutamanya kerajaan yang tidak berhenti menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada pusat tersebut.
“Semoga Allah membalas kebaikan semua… saya tidak mampu mengulas apa-apa, hanya ucapan berbanyak terima kasih dan berdoa semoga Allah memberkati semua pihak yang prihatin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata para pelajar lain dari pusat tahfiz berkenaan akan terus diberi perlindungan dan bimbingan sewajarnya, serta telah dipindahkan ke lokasi lain yang dirahsiakan untuk tujuan keselamatan.
Mohd Zahid bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut sebarang pertanyaan pemberita berhubung kejadian tersebut dan berkata:Â “Saya harap semua faham kerana pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan.
“Saya tidak mahu timbul sebarang perkara yang mengganggu tugas polis,” tambahnya.
Kejadian 5.15 pagi Khamis yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru itu mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Seri Paduka malahan berkenan berangkat menziarahi lokasi kejadian malam tadi, dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Tragedi ngeri itu juga mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meninjau lokasi dan melawat mangsa di hospital bagi membantu menyegerakan urusan mengesahkan identiti 23 mangsa terlibat sehingga urusan pengebumian berjalan lancar.
Jenazah kesemua mangsa selamat dikebumikan di beberapa lokasi tanah perkuburan di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Perak dan Kelantan. – BERNAMA