BEIJING – Presiden Russia, Vladimir Putin semalam menggesa penyelesaian diplomatik segera berhubung Korea utara untuk mengelak ‘malapetaka global’ selain menganggap cadangan Amerika Syarikat (AS) supaya Pyongyang dikenakan sekatan lanjut sebagai perbuatan sia-sia.
Kenyataan Putin itu bertentangan dengan pendirian Washington kelmarin menggesa ‘tindakan setegas mungkin’ terhadap Korea Utara kerana meletupkan bom hidrogen pada hujung minggu lalu.
“Russia mengutuk tindakan ‘provokatif’ Korea Utara itu, tetapi mengenakan sekatan sembarangan dalam situasi sebegini tidak berguna dan tidak berkesan,” katanya kepada wartawan di bandar Xiamen berikutan sidang kemuncak kesatuan ekonomi lima negara (BRICS).
Putin menggesa dialog diadakan dan memberi amaran terhadap tindakan lain yang mampu menegangkan lagi krisis berkenaan.
“Semua ini mampu membawa kepada malapetaka global yang memberi kesan terhadap sejumlah mangsa yang ramai,” katanya.
Presiden AS, Donald Trump kelmarin meluluskan penjualan senjata dan peralatan ketenteraan bernilai berbilion dolar kepada Korea Selatan.
Pada masa sama, kelmarin, Korea Selatan melepaskan peluru berpandu balistik untuk mensimulasikan serangan ke atas tapak ujian peluru berpandu Korea Utara, diikuti latihan tembakan di laut semalam selain sudah memperkuatkan pertahanannya dengan menempatkan lebih banyak pelancar peluru berpandu Sistem Pertahanan Terminal Kawasan Altitud Tinggi (THAAD). – AFP/myMetro Online