SEOUL – Korea Utara memberi amaran Amerika Syarikat (AS) perlu ‘membayar harga sewajarnya’ kerana mengetuai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan tambahan terhadap negara itu.
Washington mendesak undi draf resolusi untuk mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Pyongyang susulan ujian nuklear terkini yang dilakukannya.
Berdasarkan draf resolusi yang didedahkan kepada Reuters, AS mahu Majlis Keselamatan PBB mengenakan sekatan minyak, menghentikan eksport utama tekstil dan larangan kewangan serta perjalanan terhadap Pemimpinnya, Kim Jong-un.
Jurucakap Kementerian Luar Korea Utara berkata, AS marah terhadap ujian nuklear yang lebih dianggap sebagai ‘pertahanan diri’ hingga sanggup memanipulasi Majlis Keselamatan PBB.
“Sekiranya A.S melancarkan ‘resolusi’ yang haram dan menyalahi undang-udang dengan mengenakan sekatan lebih keras terhadap Republik Demokratik Korea Utara (DPRK), ia bakal membayar harga yang wajar,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan agensi berita KCNA.
Katanya, dunia bakal menjadi saksi bagaimana DPRK bakal ‘menjinakkan’ AS kerana mengenakan beberapa siri sekatan keras yang di luar jangkaan.
Menurut pegawai Korea Selatan selepas melancarkan ujian nuklear ke enam yang dikatakan bom hidrogen pada 3 September lalu kemungkinan negara itu bakal melancarkan peluru berpandu balistik antara benua untuk menentang tekanan antarabangsa. – Reuters/BH ONLINE