NAMA Faizal Ismail mula dikenali apabila menjadi penyampai radio pertama di stesen Hot FM bergandingan bersama Fara Fauzana 11 tahun yang lalu.
Namun, selepas pembabitannya hampir lapan tahun bersama stesen radio tersebut, Faizal atau lebih dikenali sebagai FBI membuat keputusan untuk mengundurkan diri.
Selepas setahun berpisah dengan keluarga Hot FM, Faizal muncul dengan rancangan bual bicaranya iaitu Apa Saja FBI yang disiarkan di TV9 pada tahun 2014.
Kini, pengacara popular ini aktif di dalam laman sosial apabila mengendalikan radio sendiri melalui laman Facebook sejak tiga minggu lalu. Program ini diadakan pada setiap hari bermula jam sembilan malam di laman rasmi ‘Faizal Ismail FBI’.
“Sekarang saya buat live menggunakan akaun Facebook seolah-olah rancangan radio saya sendiri.
“Ia bukan sekadar live secara suka-suka kerana saya turut menampilkan tetamu jemputan seperti Fara Fauzana dan beberapa tetamu lain,” katanya dipetik laporan mStar Online.
Bapa kepada lima orang cahaya mata ini hanya menggunakan aplikasi Facebook Live beserta gaya santai yang hanya dibuat di rumahnya sendiri.
“Kadang-kadang saya pakai kain pelikat masa live, dengan anak-anak saya melintas di belakang sewaktu siaran,” tambahnya.
Menurutnya lagi, program tersebut berkonsepkan home radio yang mana sesi bual bicara bersama tetamu jemputan selain menyelitkan elemen muzikal seolah-olah menjadi radio yang sebenar.
Pengacara yang berusia 41 tahun ini turut menyatakan ada pihak yang ingin menaja siaran tersebut.
Dalam perkembangan lain, Faizal bakal digandingkan semula dengan Fara Fauzana bagi mengacarakan Konsert 50 Tahun Panggung Anniversari 30 September depan.
Faizal turut terlibat dalam seminar dan perkongsian yang dianjurkan oleh Amin Idris selain sibuk menguruskan perniagaan ‘Daging Itam Manis FBI’ bersama isterinya.
Khabarnya, perniagaan makin bertambah maju apabila kedai makanan sejuk beku milik dia bakal beroperasi Oktober depan. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim