KUALA LUMPUR – Rapid Rail Sdn. Bhd. mengumumkan operasi baharu lima tren monorel berkapasiti empat gerabak yang akan mula beroperasi hujung tahun ini.
Sebelum ini, operasi kelima-lima tren itu dihentikan Mei lalu oleh kerana isu keselamatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Zohari Sulaiman, kerja-kerja membaikpulih dan menyelenggara masih diteruskian bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan tren-tren tersebut.
“Kami sedang bekerja keras untuk memastikan kerja-kerja pembaikan akan selesai secepat mungkin, namun masih mengikuti prosedur yang ditetapkan,” kata Zohari dalam satu kenyataan hari ini, Selasa.
Beliau juga memohon maaf kepada semua pengguna transportasi tersebut di atas kesulitan yang timbul dengan menjelaskan bahawa kesemua tren empat gerabak itu dihentikan operasi buat sementara waktu bagi melindungi keselamatan masyarakat.
Kesemua tren tersebut dihentikan perkhidmatannya setelah Rapid Rail mengenal pasti beberapa risiko yang akan membahayakan keselamatan pengguna.
Berhubung penamatan sementara waktu tren itu, hanya tren dengan dua gerabak sahaja yang beroperasi dengan ketepatan masa 8 minit.
Kata Zohari lagi, tren 4 gerabak itu telahpun dihantar semula kepada pembekalnya iaitu Scomi bagi tujuan pemeriksaan semula dan penyelenggaraan.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telahpun dimaklumkan tentang hal tersebut, katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC