KUALA LUMPUR – Kisah tular seorang remaja lelaki yang ditahan polis pada Jumaat sebenarnya bukan suspek kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Kampung Datuk Keramat di sini.
Sebaliknya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengakui ada seorang yang berjaya ditangkap pihak polis, tetapi dia bukan suspek kes kebakaran tragik bangunan pusat tahfiz tersebut pada awal pagi Khamis lalu.
“Jika ditanya ada tangkapan, ya memang ada. Tetapi dia bukan pun suspek kebakaran namun penahanan remaja tersebut kebetulan hanya untuk membantu siasatan pihak polis,” kata beliau ketika dihubungi malam tadi.
Sebelum ini, berita mengenai seorang pelajar tahfiz menyelinap keluar dari asrama beberapa jam sebelum kejadian kebakaran ditahan polis untuk siasatan telah menjadi tular menerusi media sosial sehingga cetus spekulasi.
Baca: Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Kebakaran Tahfiz
Sementara itu, seorang kakitangan pusat tahfiz tersebut turut menjelaskan bahawa remaja yang dibawa melawat ke lokasi kejadian semalam disahkan bukanlah pelajar institusi berkenaan tetapi dipercayai terlibat kes kecurian.
Suspek dipercayai melakukan jenayah itu di ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan secara kebetulan, bangunan berkenaan terletak bersebelahan pusat tahfiz yang sedang menjalani proses baik pulih.
“Sebelum ini memang terdapat kes kecurian mesin air layan diri diletakkan di hadapan ibu pejabat PPIM itu dan remaja tersebut pula adalah penduduk yang tinggal di kawasan sekitar perkampungan ini juga.
“Demi Allah, lelaki itu bukan pelajar tahfiz sebab saya kenal semua pelajar sekolah ini,” katanya. Dalam kebakaran 5.15 pagi kelmarin, 21 pelajar dan dua guru pusat  tahfiz itu terkorban. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA