MOSCOW – Rusia bersedia berbincang dengan Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan perjanjian pengurangan senjata strategik antara kedua negara, lapor agensi berita China Xinhua.
Pengarah Jabatan Kawalan Senjata Kementerian Luar Negeri Rusia, Mikhail Ulyanov berkata, Moscow bersedia untuk memulakan rundingan dengan Washington bagi melanjutkan Perjanjian Strategi Pengurangan Senjata (START) untuk tempoh lima tahun lagi.
“Perjanjian START yang berkuatkuasa sehingga 2021 mempunyai pilihan untuk dilanjutkan selama lima tahun lagi. Keputusan belum dibuat namun bersedia mempertimbangkan pilihan itu atau sekurang-kurangnya berbincang mengenainya dengan AS,” kata Ulyanov.
Ulyanov menambah bagi memulakan rundingan lanjutan, Washington harus menunjukkan pihaknya juga berminat untuk mengadakan perbincangan.
START bermula pada 5 Februari 2011, melaluinya AS dan Rusia mesti memenuhi had perjanjian pada 5 Februari 2018.
Ia dijangka bertahan sehingga 2021 dengan kemungkinan lanjutan untuk lima tahun lagi. – BERNAMA