JOHOR BAHRU – Sebahagian siling Klinik Kesihatan Mahmoodiah di Jalan Mahmoodiah dekat sini runtuh secara tiba-tiba pagi tadi, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata ketika kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, tiada kakitangan mahupun pengunjung berada di lokasi kejadian.
Menurut beliau, kejadian itu berlaku di bahagian Kaunter Kaunseling Pemakanan klinik berkenaan dan bukan berlaku di bangunan induk Hospital Sultanah Aminah seperti yang didakwa.
“Kejadian berlaku sewaktu klinik beroperasi namun tiada pengunjung dan kakitangan berada di lokasi kejadian ketika ia berlaku.
“Punca kejadian tersebut masih sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, kos membaik pulih siling tersebut dianggarkan berjumlah lebih kurang RM3,000 yang dikendalikan oleh syarikat konsesi Ambang Wira.
Kerja-kerja penambahbaikan dijangka selesai pada hujung minggu ini.
Ayub berkata demikian ketika mengulas mengenai isu siling runtuh yang didakwa berlaku di HSA yang menjadi viral menerusi aplikasi Whatsapp dan media sosial Facebook. – BERNAMA