ISU suami atau isteri main kayu tiga kini tidak lagi asing dalam negara kita. Walau sudah punya pasangan yang sempurna, tapi masih lagi mahu mencari ‘spare part’.
Sejak bulan April lalu, seorang lelaki telah memuat naik satu gambar dengan kapsyen yang memilukan hati apabila isterinya sendiri dikatakan telah mengadakan hubungan terlarang di belakangnya.
Difahamkan bahawa wanita itu merupakan Kapten dari Maktab Tentera Diraja manakala si lelaki pula berpangkat Leftenan di pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, telah menjalinkan hubungan sejak September tahun lalu.
Pasangan itu telah ditangkap berkhalwat di sebuah hotel bertaraf empat bintang di Cyberjaya, Selangor pada 2 April yang lalu, jam 3 pagi.
Ketika kejadian, suami wanita tersebut telah membawa dua orang anggota polis dari Balai Polis Cyberjaya, seorang saksi dan beberapa kakitangan pihak hotel bersama seorang pengawal keselamatan sebagai saksi.
Pasangan ini juga difahamkan pernah ditangkap pada September tahun lalu di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Lelaki tersebut telah memaklumkan di akaun Facebooknya bahawa pasangan itu mengambil masa hampir setengah jam untuk membuka pintu hotel tersebut. Setelah diserbu, wanita itu sedang menyorok di dalan tandas.
Menurut posting tersebut, selepas disoal siasat, kapten itu mengaku sanggup datang dari Kuantan, Pahang dengan menaiki bas ke Putrajaya dan seterusnya menuju ke hotel di Cyberjaya untuk bertemu si kekasihnya itu.
Hasil perkongsian itu, ramai netizen memberi komen negatif dan ada juga positif yang menyebelahi si suami serta terdapat sesetengah menyebelahi nasib wanita itu kerana terdapat satu berita lain mengenai kisah curang ini yang tular di media sosial.
Menurut portal Sila Meninggal, terdapat satu gambar menunjukkan perbualan seorang individu dengan admin sebuah page yang tidak diketahui sedang menceritakan mengenai hal sebenar yang berlaku.
Lain pula cerita seorang individu itu yang mengatakan bahawa penangkapan itu telah dirancang oleh si suami kononnya kerana tidak berpuas hati si isteri telah meminta cerai.
Katanya suami tersebut tidak menjalankan tanggungjawab serta sering memukulnya dan telah melakukan hubungan terlarang bersama wanita lain serta melanggan khidmat pelacur bagi memuaskan nafsunya.
Bukan itu sahaja, si suami juga dikatakan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak memberi nafkah zahir termasuk tidak menanggung perbelanjaan isi rumah selama mereka berkahwin.
Dikatakan si suami telah menceraikan isterinya lebih daripada 10 kali namun tiada sebarang pengesahan dilakukan kerana si suami sering berdolak dalik menafikan lafaz talak itu.
Kononya, leftenan yang merupakan kekasih wanita itu dikatakan kenalan rapat keluarga wanita tersebut dan sering bersama dengannya ketika dia mengalami masalah dengan suaminya itu.
Hubungan perkahwinan leftenan tersebut turut goyah kerana isterinya dihasut oleh suami wanita itu yang mengadu mengenai hubungan terlarang pasangan itu.
Namun, jika dilihat di sini keadaan masih tidak jelas lagi. Walaupun terdapat cerita lain di sebalik kejadian yang berlaku, sebagai orang luar, kita tiada hak untuk masuk campur dalam hal rumah tangga orang lain.
Di akaun Facebook suami kapten itu, dia telah menyatakan bahawa jika masih ada lagi dakwaan yang mengatakan dia mereka cerita mengenai kecurangan isterinya, dia tidak akan teragak-agak untuk menyatakan bukti yang lain.
Namun, pasangan itu akan didakwa pada 25 Oktober di Mahkamah Syariah Daerah Sepang di bawah seksyen 29(a&b) jenayah syariah dan jika di dapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya sekali.
Biarlah pengadilan yang menentukan siapa betul dan siapa salah. Jika hanya mendengar khabar angin tanpa bukti, masalah tidak akan selesai sama sekali. – Mynewshub.cc/AH