KUALA LUMPUR – Salah seorang bapa pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terselamat dalam kebakaran di sini awal pagi ini secara kebetulan sempat balik ke rumahnya semalam.
Azman Endan, 40, berkata anaknya, Muhammad Ashraf yang berumur 11 tahun sepatutnya berada di asrama tetapi telah dijemput pulang sekitar pukul 6 petang Rabu selepas mengadu mengalami alahan kulit.
“Saya datang mengambil anak saya sehari sebelum kejadian untuk bawa dia pergi rawatan sakit kulit. Anak jiran saya pula namun salah seorang mangsa yang terkorban,” kata beliau ketika ditemui Mynewshub.
Berikutan peraturan asrama yang tidak membenarkan mereka membawa telefon bimbit ke pusat tahfiz ini, En Azman sering diserbu pelajar-pelajar tahfiz untuk menggunakan telefon bimbitnya menghubungi ahli keluarga.
“Anak-anak dalam itu ibarat anak-anak kami. Apabila kami datang, mereka serbu untuk pinjam telefon. Saya memang kenal pelajar tahfiz ini. Kami juga bantu mereka dalam membelikan barang keperluan,” katanya.
Azman turut terkejut dan berasa sedih dengan apa insiden tragik yang berlaku pagi tadi kerana kesemua mangsa dikenalinya malahan mereka memang rapat dengan dirinya sendiri.
“Setiap minggu, saya pasti akan melawat anak saya di pusat tahfiz tersebut namun petang semalam ketika berjumpa dengan Ashraf, dia mengadu mengalami gatal-gatal kulit.
“Berikutan itu, saya terus berjumpa Ustaz Yusof, salah seorang warden asrama yang turut terkorban untuk membawa pulang anak saya bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambah Azman, dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp oleh salah seorang ibu pelajar yang terkorban dalam kejadian itu.
“Sebaik sahaja saya mengetahui mengenai kejadian, tanpa berlengah saya bersama seorang lagi bapa salah seorang pelajar yang terkorban terus ke lokasi kejadian,” ujarnya. – Mynewshub.cc/Aisyah