WASHINGTON – Dua hari sebelum taufan Irma kategori lima dijangka membadai, Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengeluarkan amaran ribut taufan ke atas selatan Florida dan Florida Keys di tenggara Amerika, lapor agensi berita China Xinhua.
Amaran itu dikeluarkan untuk penduduk di sekitar kawasan selatan wilayah Jupiter Inlet, semenanjung Florida, Pantai Bonita, Florida Keys, Tasik Okeechobee dan Teluk Florida.
Taufan Irma kini berada di tenggara Miami, sebuah bandar pelabuhan utama di pantai Atlantik dan dijangka melanda Florida pada Sabtu.
Setakat petang Khamis, ribuan penerbangan pelepasan atau ketibaan di beberapa lapangan terbang utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Lapangan Terbang Ft.Lauderdale-Hollywood dan Lapangan Terbang West Palm Beach, terpaksa dibatalkan.
Lebuh raya arah ke utara dari selatan Florida turut sesak memandangkan kebanyakan penduduk keluar mencari perlindungan di kawasan lebih selamat.
Taufan Irma kategori lima itu adalah yang pertama melanda AS sejak 1993 dan dilaporkan paling kuat pernah terbentuk di Lautan Atlantik. – BERNAMA