JIKA sebelum ini kecoh misi sepasang suami isteri yang ingin menunaikan ibadah umrah dengan berbasikal.
Kini, seorang pak cik ingin tawan Semenanjung Malaysia dengan kayuhan becanya pula. Makin galak pula orang mahu mencabar diri sekarang ini ya.
Seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Cik Sidik telah pun memulakan misinya untuk kayuhan beca ke seluruh Semenanjung lima hari yang lalu.
Menurut satu posting di laman Facebook, Pak Cik Sidik ini menjalankan misinya secara solo tanpa ada supporters.
Tadi, dikhabarkan lelaki yang berusia dalam lingkungan 60-an ini telah sampai ke Pantai Morib, Selangor selepas lima hari mengayuh dari Gemas, Negeri Sembilan.
Selepas Selangor, bumi Kelantan pula yang bakal dijelajah dengan becanya itu.
Dengar-dengarnya, Pak Cik Sidik ini seorang yang peramah. Disebabkan sifatnya yang satu itu, dia sangat disenangi dalam kalangan penduduk di Gemas.
Dia juga tidak menetapkan sebarang bayaran kepada sesiapa yang ingin menaiki becanya. Hanya bayaran ikhlas yang diperlukan. Jika perasan, becanya juga turut diletakkan Jalur Gemilang.
Seorang pengguna Facebook yang dikenali dengan nama Shahrul turut berkongsi gambar kenangan bersama Pak Cik Sidik semasa hari pertama permulaan misinya itu.
Peneroka felda yang berasal dari Negeri Sembilan ini mempunyai 18 orang anak dan 41 orang cucu.
Rata-rata netizen mendoakan Pak Cik Sidik diberikan kesihatan yang baik dan selamat dalam setiap perjalanannya. Semoga usahanya dipermudahkan. Good luck Pak Cik Sidik! –MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim