KUALA TERENGGANU – “Layak ke Liga Super adalah satu kejayaan…tapi lebih manis lagi jika kita mampu menjadi juara Liga Perdana musim ini,” kata Ketua Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.
Beliau bertekad memanfaatkan peluang sepenuhnya apabila bertandang ke Stadium Perak, Ipoh bagi menentang pasukan PKNP pada 27 Okt kelak.
“Saya tidak risau dengan persediaan mental pemain untuk perlawanan nanti kerana kita sudah capai misi utama…sudah tidak ada apa yang dirisaukan…cuma ia untuk pencapaian dan rekod pasukan, kita akan cuba yang terbaik,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini semalam.
Terengganu berjaya menempah slot untuk beraksi dalam Liga Super 2018 apabila berjaya menundukkan PDRM di laman sendiri 3-0 dan Kuala Lumpur kekal mengungguli carta liga dengan kemenangan ke atas Sabah 2-0.
Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana Terengganu akan kembali beraksi di Liga Super.
“Walaupun hari ini sebenarnya kita bermain dalam keadaan yang tertekan…bagi PDRM tidak ada apa yang perlu dirisau, kalah dan menang mereka tetap berada di situ…tetapi Terengganu harus menang untuk melayakkan kita beraksi di Liga Super musim depan. Jika pemain tidak gopoh terutamanya pada separuh masa kedua, pasukan kita boleh menang dua, tiga jaringan,” katanya. – BERNAMA