KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup mengucapkan terima kasih kepada seorang pengusaha dobi di Muar, Johor kerana menarik balik menarik perkhidmatan dobi hanya untuk umat Islam di premisnya.
Beliau dalam kenyataannya memuji tindakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana telah mengambil kira perkara tersebut dalam meleraikan kemelut itu yang menular di media sosial baru-baru ini.
“Saya selaku menteri bertanggungjawab terhadap perpaduan negara dan integrasi nasional amat menghargai keprihatinan Sultan Johor. Baginda memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pengusaha dobi tersebut yang telah menarik balik notis “Mesra Muslim” di premis beliau.
“Nilai-nilai keharmonian dan perpaduan ini amat penting dalam memastikan kestabilan dalam maysarakat agar sebarang tindakan yang menjurus kepada konflik dan ketegangan dapat dielakkan,” katanya.
Gambar dobi mesra Muslim di Johor itu tular minggu lalu apabila dilaporkan hanya pelanggan Islam dibenarkan menggunakan mesin pencuci pakaian di premis itu.
Pemilik dobi itu menjelaskan dia menawarkan perkhidmatan khas itu bagi mengelakkan pakaian terkena najis mughallazah di basuh di dobi berkenaan sekaligus menjamin kesucian pakaian umat Islam yang dibasuh di dobi itu.
Media melaporkan, Sultan Johor bagaimanapun mengarahkan operasi dobi khas untuk pelanggan beragama Islam itu ditamatkan segera atau berdepan tindakan ditutup oleh baginda.
Titah baginda, Johor adalah negeri milik Bangsa Johor dan milik semua rakyat tidak kira bangsa dan agama dan Johor adalah negeri pprogresif, moden dan bersederhana.
“Ini bukan negara Taliban dan sebagai Ketua Agama Islam di Johor, beta merasakan tindakan ini sama sekali tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis.
“Beta mahu pemilik dobi itu memohon maaf kepada beta dan seluruh rakyat Johor. Dia telah membuat orang Johor malu dan marah kerana ini bukanlah apa yang Johor mahukan,” titah baginda.
Berikutan itu, pemilik dobi berkenaan telah meminta maaf kepada sultan dan seluruh rakyat Johor kerana menyediakan perkhidmatan dobi hanya untuk umat Islam di premisnya. – MYNEWSHUB.CC