LAHAD DATU – Pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo dekat sini pada Februari 2013 meninggalkan banyak kesan kepada penduduk Sabah khususnya di kawasan setempat, namun paling ketara tragedi itu menjadikan masyarakat lebih menghargai keamanan.
Berkongsi pandangannya dengan Bernama di sini, ketua sukarelawan Anak Watan Lahad Datu (Awal) Ghazali Said berkata sepanjang insiden berdarah itu yang bermula dengan pencerobohan pada 9 Feb, daerah Lahad Datu lumpuh dengan sistem komunikasi diputuskan manakala sekolah dan premis-premis perniagaan ditutup sehingga bekalan makanan sukar didapati.
“Ketika itu masa seakan-akan berhenti, seluruh Lahad Datu menjadi sunyi sepi dengan penduduk takut keluar rumah, takut menjalankan aktiviti harian kerana khuatir diancam pengganas,” kata bekas guru yang kini bekerja sebagai kontraktor itu.
Menurutnya tidak lama selepas pencerobohan, Allahyarham Datuk Suhaili Said yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tungku ketika itu, mengusulkan penubuhan Awal bagi membantu mereka yang terjejas.
Ghazali, 49, berkata tugas Awal yang ditubuhkan dengan 28 sukarelawan pada ketika itu ialah menghantar bekalan makanan dan minuman kepada penduduk di sekitar kawasan pencerobohan, termasuk Kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian.
-Menurutnya ketika kemuncak krisis, keadaan begitu genting dengan penduduk lari meninggalkan rumah masing-masing serta bersembunyi di ladang kelapa sawit, sekali gus menyukarkan agihan makanan.
“Ketika ini Awal berperanan mengesan dan menghantar makanan kepada mereka dan kami memasuki zon merah dengan arahan kenderaan pacuan empat roda dipandu pada kelajuan 120 hingga 140 kilometer sejam,” katanya.
Mengimbau risiko yang diambil ketika itu, Ghazali berkata sekalipun berasa takut kerana tidak diiringi oleh pasukan keselamatan, mereka menganggap tugas berkenaan sebagai perjuangan demi memastikan kelangsungan hidup penduduk setempat.
Menurutnya tidak lama selepas pencerobohan, semangat persaudaraan dan kesatuan jelas dirasai dengan semua rakyat pelbagai kaum dan keturunan bersama-sama berganding bahu menghulur bantuan serta sokongan moral.
“Apabila berlaku krisis, bekalan air pun sukar didapati dan ada bantuan daripada para sukarelawan di Kota Kinabalu yang sanggup datang sendiri menghantar bekalan makanan dan air di Lahad Datu,” katanya.
Menurutnya Awal juga berperanan menghantar bekalan air kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas di ladang, hutan serta balai polis.
“Saya menyaksikan ketika pencerobohan berlaku, anggota keselamatan ini bertanggungjawab terhadap keselamatan penduduk… saya nampak tentera kita tidur di bawah tayar kereta, sebulan krisis itu sebulan juga mereka di sana mengawal aset keselamatan… selain sniper (penembak hendap) kita yang berada di kedudukannya sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan itu tidak terbalas, terutama mereka yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas terbabit.
Katanya ucapan terima kasih dan pengiktirafan itu diberi kepada semua anggota pasukan keselamatan termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) yang dibawa ke Lahad Datu.
“Melihat haiwan itu kami beri tabik hormat kerana kami hormat setiap aset ketenteraan Malaysia yang dibawa ke Lahad Datu semata-mata untuk mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Menurut Ghazali akibat daripada tragedi itu, penduduk trauma manakala kanak-kanak pula mengalami gangguan psikologi menyebabkan beliau mengusahakan agar Jabatan Pendidikan Sabah menghantar kaunselor ke sekolah-sekolah terlibat.
“Sebanyak 28 guru kaunselor dihantar bagi menyelami emosi murid-murid dan apabila diberi tugasan melukis, anak-anak ini melukis gambar jet pejuang, pakaian celoreng, kereta kebal dan senjata api,” katanya.
Pada masa sama, terdapat juga anak-anak yang kelihatan benci dengan kehadiran tentera yang disifatkan Ghazali berpunca daripada budaya diskriminasi bangsa dan amalan kesukuan dalam masyarakat.
Justeru katanya peristiwa Tanduo harus dijadikan iktibar oleh semua rakyat Malaysia kerana “dalam peristiwa itu, semua bangsa, semua agama turun membantu dan tidak wujud istilah engkau-engkau, aku-aku.” – BERNAMA