WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau bersedia menjadi orang tengah bagi mencari penyelesaian berhubung pertikaian antara Qatar dengan negara Timur Tengah lain, lapor agensi berita China Xinhua.
“Jika dengan menjadi orang tengah antara Qatar khususnya dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, saya bersedia berbuat demikian,” kata Trump pada sidang media bersama Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmed Al-Jaber Al-Sabah di sini semalam.
Pada 5 Jun, UAE, Mesir dan Bahrain diketuai Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar selain mengenakan sekatan ke atas negara itu kerana menuduh Doha menyokong keganasan, campur tangan urusan dalaman negara dan menjalinkan hubungan rapat dengan Iran.
Qatar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.
Krisis kembali tegang apabila bulan lepas Qatar mengumumkan akan menghantar semula duta besarnya ke Iran.
Qatar memangil pulang dutanya pada Januari 2016, sebagai tanda sokongan terhadap Arab Saudi selepas negara itu memutuskan hubungan dengan Iran kerana gagal melindungi kedutaannya di Tehran dan konsulat di Mashahd daripada penunjuk perasaan.
Meskipun banyak negara bersedia menjadi orang tengah termasuk Kuwait sejak beberapa bulan lepas, krisis di negara Teluk itu terus dicengkam kebuntuan dan masih belum menunjukkan sebarang tanda akan pulih. – BERNAMA