TANPA konsensus PBB, Amerika Syarikat (AS) secara unilateral membentuk Pakatan Barat menyerang Iraq pada 2003. Asas tindakan AS bersama sekutunya mudah: Iraq membina senjata pemusnah besar-besaran. Dalam kata lain, AS menuduh Iraq memiliki senjata nuklear.
Serangan itu memusnahkan Iraq dan menjatuhkan Rejim Saddam Hussein yang kemudiaan diburu dan ditangkap lalu dihukum bunuh secara perbicaraan mi segera.
AS sentiasa punya sekutu – terutamanya NATO.
Manakala, Rusia memainkan peranan penting dalam kebangkitan Crimea menuntut pemisahan daripada Ukraine pada 2014 melalui sokongan pensenjataan kepada pemberontak yang kemudiannya mencetuskan tragedi serangan peluru berpandu yang memusnahkan MH17 pada 17 Julai 2014.
Kini Turki wajar memulakan langkah mengetuai atau membentuk Pakatan Negara Islam dalam gerakan ketenteraan bagi menangani isu-isu pembelaan terhadap ummah.
Kalau NATO melancarkan serangan udara terhadap Serbia pada 1999 bagi menyelamatkan Bosnia dari tragedi penghapusan etnik dalam Perang Balkan 1992-1999, Turki wajar mengambil langkah serupa dalam isu Rohingya di Myanmar.
Jumaat lalu, Presiden Turki, Reccep Tayyib Erdogan secara terbuka dan lantang menyelar sikap Kerajaan Myanmar yang dituduh menjalankan penghapusan etnik terhadap minoriti Muslim Rohingya di Rakhine.
Krisis sejak 2012 itu kini kembali bergolak pada skala besar melalui serangan bermula 25 Ogos lalu.
Dalam krisis terbaharu itu, sumber Tentera Myanmar menyebut 500 penduduk Muslim di Utara Rakhine terbunuh dalam operasi menentang pengganas. Manakala, sumber rapat dengan penduduk Rakhine menyebut, angka kematian mencecah 3 ribu orang.
Di sempadan Bangladesh, 40 ribu pelarian Rohingya kini terperangkap setelah melarikan diri dari 43 perkampungan yang diserang dan rumah penduduk dibakar.
Turki perlu bertindak. Erdogan kelihatan wajar memulakan langkah mewujudkan kekuatan Blok Islam bagi mengimbangi Blok AS-NATO dan Blok China dan Rusia di sebahagian rantau berkepentingan.
Turki pasti mendapat sokongan Iran, malah Qatar.
Turki wajar bertindak dalam isu Rohingya dengan menghantar armada lautnya ke Lautan Hindi dan melancarkan serangan strategik ke Rangoon. Ia satu kerja mudah tetapi berkesan.
Tukri diketahui memiliki armada laut yang canggih untuk melancarkan serangan peluru berpandu laut ke darat.
Tindakan Turki akan dilihat relevan. OIC tidak akan bertindak apa-apa. Manakala PBB akan hanya bertindak setelah melalui proses politik yang panjang yang keputusannya pula belum tentu memihak kepada Rohingya.
Turki boleh membuka mata dunia Islam. Paling tidak memulakan model Blok Pakatan Islam yang benar-benar menjaga kepentingan umat Islam. Sekaligus menafikan konsep Blok Sekutu Arab Saudi yang membentuk pakatan ketenteraan untuk menyerang pemberontak Houti di Yaman.
Cara Arab Saudi satu pembulian dan hanya memburukkan lagi keadaan. Cara Arab Saudi bersifat membuli sesama Islam.
Ayuh Erdogan! Teruskan perjuangan anda sebagai Amirul Mukminin abad 21. – MYNEWSHUB.CC