PENGASAS produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Vida ‘turun padang’ melawat 21 buah keluarga mangsa kanak-kanak yang terkorban dalam tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah 14 September lalu.
Dalam pertemuan yang diadakan malam tadi, Vida menyampaikan sumbangan kepada mereka berjumlah RM10,000 kepada keluarga yang kehilangan dua dan tiga anak dalam tragedi itu manakala yang lain menerima sumbangan sebanyak RM3,000.
Beliau turut menyampaikan produk syarikatnya, minuman Pamoga dan juga Al-Quran yang dikeluarkan sendiri iaitu Quran D’Qalbu.
“Saya juga akan aturkan urusan umrah untuk 18 anak-anak yang terselamat secepat mungkin, seawal-awalnya sebelum 20 Oktober depan.
“Saya juga takkan melupakan ibu bapa semua mangsa, Insya Allah kita juga akan bawa mereka menunaikan umrah… kita akan buat secara berperingkat.
“Saya tidak mahu hubungan ini terputus, saya akan jadikan semua anak-anak yang terselamat sebagai anak angkat, manakala semua keluarga mangsa, sebagai keluarga angkat,” katanya dipetik laporan BH Online.
Pelantun suara bagi lagu I Am Me ini buat pertama kalinya berjumpa dengan keluarga dan waris kanak-kanak yang terkorban sekitar jam 9.15 malam sebelum disambut pengetua pusat tahfiz berkenaan, Mohd Zahid Mahmood.
Dalam pada itu, Vida turut berkongsi pengalamannya yang kehilangan dua anak sekaligus dalam kejadian kebakaran yang berlaku rumahnya beberapa tahun lalu.
“Walaupun kejadian yang menimpa saya sudah empat tahun berlalu, saya masih merasai keperitan akibat kehilangan dua anak dalam kebakaran.
“Saya memahami perasaan setiap keluarga mangsa yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini. Saya amat memahami kesedihan, kepedihan, keperitan anda.
“Namun kita perlu kuat, kekuatan untuk menempuh dugaan ini adalah anugerah Allah,” katanya sambil menahan sebak.
Harapannya agar perkongsian dan kata-kata semangatnya itu mampu membuatkan mereka tabah menghadapi dugaan ini dan bersabar dengan nikmat yang bakal diterima kelak.
Vida juga sempat berpesan agar semua waris tidak menyalahkan mana-mana pihak terutama pusat tahfiz dan bersabar dengan ujian yang dilemparkan. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim