TREND selebriti terkenal tempatan termasuk kalangan ahli perniagaan atau politik melangsungkan acara perkahwinan mereka secara serba ringkas di Tanah Suci bukan sesuatu yang asing.
Malah ada pasangan bernikah dalam Masjidil Haram di Makkah dengan berlatarkan pemandangan indah Kaabah atau pun pekarangan Masjid Nabawi di Madinah selain memuat naik foto momen tersebut menerusi media sosial.
Ia dikatakan konon bersempena mengambil keberkatan terhadap perkahwinan mereka bahkan ada mendakwa itu lebih baik berbanding jika kahwin secara rahsia di negara jiran terutama selatan Thailand yang diragui statusnya.
Namun tanpa disedari tindakan pasangan tersebut meskipun niat memang adalah baik sebenarnya merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang Arab Saudi sendiri tetapi malangnya tidak ramai pula tahu mengenai perkara itu.
Justeru Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menasihatkan mana-mana warga Malaysia supaya tidak berhasrat melangsungkan pernikahan di Tanah Suci yang agak popular khususnya dalam kalangan jemaah umrah.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan media berkata, perkahwinan rakyat Malaysia di Arab Saudi adalah dilarang kerana ia jelas melanggar undang-undang negara itu.
Beliau berkata, isu perkahwinan warga Malaysia di Arab Saudi semakin menjadi trend pada ketika ini dan pihak kementerian akan memainkan peranan untuk memaklumkan khasnya kepada jemaah umrah mengenai isu itu.
“Kita akan hebah mengenai perkara ini… saya sendiri pun tidak tahu pernikahan di Tanah Suci menyalahi peraturan di sana, tetapi selepas dibentangkan oleh wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), barulah saya tahu.
“Oleh itu, saya berharap melalui pembentangan ini, ahli Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) dapat memainkan peranan sama untuk giat memaklumkan kepada bakal jemaah atau rakyat Malaysia yang berkunjung ke sana.
“Mungkin mereka ada hati untuk bernikah di sana atau juga berhasrat tambah lagi satu pasangan,” kata Mas Ermieyati pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MKSU Bil. 4/201 di Putrajaya pada Khamis.
Ujarnya lagi, maklumat yang diberikan oleh Jakim itu adalah baik dan beliau berharap pihaknya dapat bekerjasama erat dengan jabatan tersebut untuk memaklumkan daripada semasa ke semasa kepada rakyat Malaysia.
Setakat ini, tiada perangkaan rasmi menunjukkan bilangan warga Malaysia yang bernikah di Tanah Suci, namun dianggarkan lebih 200,000 rakyat negara ini mengerjakan umrah sepanjang tahun. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
*Video di bawah suasana pernikahan di Masjidil Haram…