COLOMBO – Seorang wartawan Britain maut selepas disambar buaya dan diheret ke dalam sungai ketika sedang bercuti di negara pulau Asia Selatan ini kelmarin, lapor media antarabangsa.
Tentera Laut Sri Lanka dalam satu kenyataan berkata, Paul McClean, 24, dari akhbar Financial Times di London sedang bercuti setelah melakukan aktiviti luncur ombak di Pantai Arugambay apabila kejadian itu berlaku.
“Pihak kami berjaya menemui mayat seorang pelancong asing yang maut disambar buaya, semalam,” kata kenyataan itu. Mangsa dipercayai mencari tandas di tepi laut sebelum disahkan hilang.
Para penyelam menjumpai mayat tersebut di lumpur sebuah lagun tepi pantai kampung Panama, 360 kilometer daripada timur ibu kota Colombo, menurut jurucakap polis dan suspek utama disyaki ialah buaya.
“Terdapat enam atau tujuh kecederaan di kaki kirinya,” menurut polis memberitahu pihak AFP menerusi talian telefon. Badannya tersekat di dalam lumpur tempat sama kali terakhir dilihat mereka yang bersamanya.
Buaya tersebut dipercayai menyeret McClean pada petang Khamis, menurut pegawai. Namun, pemeriksaan post mortem yan dijalankan pada Jumaat akan menjelaskan secara rasmi sebab kematian wartawan tersebut.
Laporan menyatakan bahawa McClean, sedang bercuti di Sri Lanka bersama rakan-rakannya. Dia berada di pantai dan merayau-rayau untuk cari tandas apabila memasuki satu kawasan diketahui sebagai tempat banyak buaya.
Seorang saksi yang juga penduduk tempatan, dipetik stesen BBC sebagai berkata, beliau mendengar mangsa menjerit meminta tolong ketika diheret masuk ke dalam sungai oleh haiwan berkenaan.
“Ketika kami sampai ke tempat kejadian, mangsa sudah tidak kelihatan lagi di situ kerana sudah dibawa masuk ke dalam air,” kata pemilik pusat luncur ombak itu, Fawas Lafeer.
McClean, graduan kelas pertama jurusan Pengajian Bahasa Perancis daripada Universiti Oxford menyertai Financial Times lebih dua tahun lalu dan berkhidmat di bahagian berita terkini.
Pengarang Pengurusan FT, James Lamont menggambarkan McClean sebagai wartawan muda yang berbakat, bertenaga dan berdedikasi serta mempunyai masa depan cerah di akhbar berkenaan.
Serangan buaya merupakan sesuatu jarang berlaku di Sri Lanka. Namun, awal bulan ini, pihak berkuasa haiwan liar melaporkan ada seekor buaya yang mencederakan gajah liar di selatan pulau tersebut. – Agensi/Mynewshub.cc