NEW DELHI – Sekurang-kurangnya tiga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas sebuah trak yang dipandu laju merempuh sekumpulan pekerja pembinaan di selatan India pada Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis.
“Nahas itu berlaku pada awal pagi di bandar Kochi, negeri Kerala ketika pekerja terbabit sedang menjalankan tugas mereka di tapak projek pembinaan kereta api Metro,” kata seorang pegawai polis.
Keempat-empat mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran dalam keadaan kritikal, dan tiga daripada mereka meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami manakala seorang lagi masih bertarung nyawa, katanya.
Beberapa saksi memberitahu polis bahawa pemandu terbabit hilang kawalan kerana trak itu dipandu laju sehingga menyebabkan nahas berlaku.
Satu siasatan telah diarah dijalankan berhubung insiden itu dan pemandu trak terbabit sedang diburu kerana melarikan diri dengan kenderaan selepas kejadian, kata pegawai polis tersebut.
India mencatat jumlah kematian tertinggi di dunia akibat nahas jalan raya, kebanyakannya disebabkan corak pemanduan yang buruk atau keadaan jalan dan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik. – BERNAMA