KUALA LUMPUR – Tiga muka baharu adalah antara 23 pemain disenaraikan Bojan Hodak untuk menggalas cabaran skuad Bawah 19 (B-19) negara pada pusingan kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Paju, Korea Selatan dari 31 Okt hingga 8 Nov ini.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan pengendali skuad remaja negara itu menyenaraikan pemain Piala Presiden Kedah Zhafir Yusoff, pemain Piala Presiden Pulau Pinang K. Thivandaran serta pemain Liga IPT dari UiTM, Al Imran Abdul Halim yang dikenal pasti menerusi kem latihan skuad berkenaan di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak 5 Okt lepas.
Tiga pemain yang digugurkan Hodak adalah dua pemain Piala Belia Kuala Lumpur, Faizal Hafiq Omar dan Qamarul Ariffin Norhisham serta pemain Piala Presiden Johor Darul Ta’zim III, Awang Faiz Hazziq Awang Fathi.
Hodak, bagaimanapun mengekalkan 20 pemain yang membantu Malaysia muncul naib juara Kejuaraan B-18 Kejohanan Bola Sepak ASEAN 2017 di Yangon, Myanmar, September lepas.
Skuad B-19 kebangsaan dijadual berlepas ke Korea Selatan pada Sabtu ini, bagi menghadapi empat aksi pusingan kelayakan Kumpulan F.
Malaysia akan membuka kempen berdepan Timor Leste pada 31 Okt, Brunei (4 Nov) dan Indonesia (6 Nov) sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang tuan rumah, Korea Selatan, selang dua hari kemudian.
Berdasarkan format kelayakan, 10 juara kumpulan dan lima pasukan terbaik dalam kalangan 10 pasukan naib juara kumpulan A-J, layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan yang bakal berlangsung di Indonesia pada Oktober 2018.
SENARAI 23 PEMAIN:
Penjaga gol: Azri Abdul Ghani (Piala Belia Felda United), Aiman Arip Zulkarnain (Piala Belia Selangor), Shafiq Afifi Suhaimi (Piala Presiden PKNP FC)
Pemain Pertahanan: Ahmad Tasnim Fitri Nasir (Piala Belia Felda United), Syaiful Alias (Piala Presiden Kelantan), Azhar Apandi dan Nabil Hakim Bokhari (Piala Presiden Kuala Lumpur), A. Shivan Pillay (Piala Belia PKNS FC), Anwar Ibrahim (Piala Presiden Felda United), Syafiq Danial Romzi (Piala Belia Terengganu), Al Imran Abdul Halim (Liga IPT-UiTM)
Pemain Tengah: Zahril Azri Zabri (Piala Belia Felda United), Zhafir Yusoff dan Akhyar Rashid (Piala Presiden Kedah), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Piala Presiden Kelantan), Nurfais Johari dan K. Thivandaran (Piala Presiden Pulau Pinang), Shafizi Iqmal Md Khirudin (Piala Belia PKNS FC), Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan (Piala Belia Selangor), Ammar Akhmall Alias (Piala FAM Felcra FC), Izzuddin Roslan (Piala Belia Kuala Lumpur)
Penyerang: Hadi Fayyadh Abdul Razak (Liga Perdana Johor Darul Ta’zim II), Zafuan Azeman (Liga Perdana Perlis). – BERNAMA