JASIN – Kelindan lori berasal dari Bangladesh maut manakala lebih 3,000 ayam pedaging mati serta puluhan lagi terlepas selepas kenderaan berat sarat dengan muatan ternakan itu terbalik di Kilometer 25, Jalan Serkam-Bemban, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi, dua lagi kelindan juga berasal dari Bangladesh parah manakala pemandunya warga tempatan bernasib baik kerana hanya cedera ringan walaupun lori dipandunya remuk teruk.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa, Raijul Miah, 33, disahkan maut di lokasi kemalangan akibat parah di kepala manakala dua lagi kelindan dan pemandu dikejarkan ke Hospital Melaka untuk diberi rawatan segera.
“Mengikut laporan, kejadian berlaku ketika lori 10 tan dipandu lelaki berusia 34 tahun membawa tiga kelindan dalam perjalanan menghantar 3,320 ternakan dari Bahau, Negeri Sembilan ke pusat penyembelihan di Serkam.
“Namun ketika tiba di lokasi, pemandu lori gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke kawasan semak di bahu jalan sebelum terbalik hingga menyebabkan kepala lori terbabit remuk teruk,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian warga Bangladesh itu.
Arshad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan susulan kemalangan, pihaknya meminta kerjasama saksi supaya tampil segera untuk melengkapkan siasatan.
Tinjauan mendapati kemalangan menyebabkan ada antara bakul digunakan untuk mengangkut ayam pedaging berkenaan tercampak keluar dari lori hingga ada ternakan yang mati sebelum sempat disembelih. – myMetro Online